top of page

'ASEAN utamakan kerjasama ekonomi berbanding mahu menjadi seperti EU'


DS Anwar menyampaikan pandangannya mengenai ASEAN di WEF, Switzerland - Foto Amir Haziq/PMO

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata negara-negara ASEAN lebih memberikan keutamaan kepada kerjasama ekonomi berbanding ingin menjadi kumpulan seperti Kesatuan Eropah (EU) yang mempunyai mata wang bersama dengan pasaran dalaman.


Perdana Menteri berkata perdagangan intra-ASEAN, dan bekerja bersama dilakukan untuk melengkapkan satu sama lain supaya ada kelebihan perbandingan.


"Tidak (menjadi seperti EU), pemimpin ASEAN ada di sini, jadi saya akan berhati-hati (berjenaka).


"Tetapi apakah konsensus yang telah kita capai? Kami telah berjaya pada masa lalu dalam aspek geostrategik diplomatik, tetapi kami sedar dalam pertukaran pandangan saya dengan semua Perdana Menteri dan Presiden ASEAN, kami perlu mempertingkatkan, apa yang dikatakan orang Amerika, memperbaiki sebutan pengucapan," katanya dipetik semasa dialog eksklusif khas bersemuka bertajuk, ''A Conversation with Anwar Ibrahim'' yang dimudahcarakan oleh pengasas dan pengerusi lembaga pemegang amanah Forum Ekonomi Dunia (WEF), Prof Klaus Schwab di Davos, Switzerland semalam.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata asas ekonomi dalam aspek perdagangan dan pelaburan sangat penting selain cara berunding dengan negara atau rantau lain.


"...sama ada kita mahu muncul seperti EU adalah sesuatu yang belum kita kaji. Keuntungan kita adalah untuk mengkaji EU, kejayaan dan hadnya dan kami tidak terlalu bimbang tentang penyusunan politik.


"Kami lebih prihatin tentang kerjasama ekonomi. Dari pemahaman saya bercakap dengan anda, Bongbong Marcos (Presiden Filipina) kepada Prabowo (Presiden Indonesia) kepada Paetongtarn (PM Thailand) dan jiran-jiran saya yang lain, Lawrence (PM Singapura), Sultan Brunei yang paling senior, lebih banyak minat kami adalah untuk memberi tumpuan kepada asas ekonomi.


"Apa sahaja yang diperlukan, digitalisasi, AI dan peralihan tenaga, pelaburan perdagangan. Maksud saya, itu adalah fokus utama," ujarnya.


Ditanya mengenai persaingan China-Amerika Syarikat, Anwar menjelaskan bahawa ASEAN mempunyai prinsip tidak berpihak iaitu "berhubung dengan Amerika Syarikat secara tradisional dan akan meneruskannya".


"China adalah jiran yang penting, kami tidak mempunyai masalah. Sudah tentu, orang menyoroti Laut China Selatan, sempadan, tetapi izinkan saya mengingatkan anda bahawa Malaysia adalah negara maritim.


"Kami mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Singapura. Kami masih mempunyai isu sempadan dengan mereka. Kami mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Thailand, tetapi masih ada beberapa isu sempadan dengan mereka.


"Begitu juga dengan Indonesia, Filipina. Kami tidak berperang, kami tidak mengancam, kami berbincang. Kami sedikit marah tetapi kemudian fokus pada asas ekonomi dan teruskan. Dan mengapa kita perlu menonjolkan China sebagai satu isu?" soal Anwar.


"Jadi saya rasa kita perlu teruskan dengan China kerana ia adalah pemain penting. Mereka sangat berpatutan dengan kami. Mereka lebih serius dengan kami berbanding banyak negara sekutu dan rakan lama kami," katanya.


Dalam pada itu, Anwar turut mempersoalkan mengapa Malaysia tidak boleh menyertai blok BRICS dengan terus menjadi sebuah negara yang merdeka dalam menentukan prinsip tidak berpihak.


Sebagai kumpulan negara Selatan Global, Malaysia perlu mengambil pendirian kerana infrastruktur kewangan antarabangsa melalui Tabung Kewangan Dunia (IMF) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu direformasi selain penyesuaian dilakukan terhadap Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).


"Itu sahaja yang mereka minta. Kita tidak akan berperang. Kita masih bekerja di bawah mekanisme semasa. Jadi, bagi saya BRICS adalah penting. Setidak-tidaknya ada mekanisme untuk berbincang, bukan "zero-sum game"," kata Anwar sambil menambah Malaysia juga sedang berbincang dengan EU sebagai kumpulan baharu yang perlu untuk bekerjasama.

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page