top of page

ASEAN: Malaysia perlu main peranan corak hala tuju masa depan - PM



Malaysia perlu memainkan peranan utama ketika menjadi Pengerusi ASEAN apabila rantau Asia Tenggara diramai menjadi blok ekonomi keempat terbesar di dunia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Perdana Menteri berkata sebahagian besar pertumbuhan global akan berasal daripada gabungan ASEAN, India, dan China yang bekerjasama dengan Barat sekali gus menghasilkan kelas pertengahan yang semakin berkembang dan pengaruh besar dalam membuat keputusan.


"Perubahan tatanan ekonomi dunia, ASEAN yang semakin berkuasa, dan Malaysia yang stabil bermakna kita tidak lagi sekadar menjadi pemerhati. Oleh itu, kita mesti mengambil peranan utama dalam mencorak hala tuju masa depan


"Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN hadir pada saat yang sangat mencabar dan penuh peluang kerana Asia kini telah menjadi pusat ekonomi global, dan ASEAN diramalkan menjadi blok ekonomi keempat terbesar di dunia," katanya ketika berucap merasmikan Forum Ekonomi Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.


Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata apabila kuasa-kuasa besar semakin menjauh daripada tanggungjawab ke arah pengasingan ekonomi — membina tembok perlindungan dan pengasingan, sambil masih mengulang mantra mengenai tatanan ekonomi dunia berasaskan peraturan, negara menyaksikan peluang yang berbeza.


"Dan inilah peluang yang jarang berlaku untuk menyelaraskan semula dasar ke arah pluralisme ekonomi, kerjasama melalui platform multilateral dan membuat keputusan yang disemai dengan hati nurani moral. Dalam konteks ini, relevansi Forum Ekonomi Malaysia menjadi amat penting," ujarnya.


Beliau berkata ketika membentuk kerajaan pada akhir 2022, kepimpinan negara mencari legitimasi ekonomi melalui kestabilan politik di dunia yang semakin sukar dicapai sebelum siri dasar ekonomi progresif dalam naratif pertumbuhan kami, seperti Ekonomi MADANI, ruang fiskal, dan inisiatif yang berpusatkan rakyat dilaksanakan.


"Dengan semangat reformasi institusi, ekonomi telah pulih dengan dramatik, alhamdulillah, dan kini kita menyaksikan kemasukan pelaburan strategik yang besar dalam semua sektor, terutamanya dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan infrastruktur kecerdasan buatan (AI)," ujarnya.


Dalam pada itu, Anwar mahu Malaysia memainkan peranan dalam mencorakkan hala tuju kepimpinan ekonomi melalui contoh pembangunan dengan tidak meminggirkan komuniti dan memastikan dasar tidak memburukkan lagi kemiskinan.


Pertumbuhan yang didorong sepenuhnya oleh pasaran tidak seharusnya dilihat sebagai bertentangan dengan pelaksanaan agenda sosial yang komprehensif untuk memajukan keadilan, jelas beliau.


"Asas ekonomi yang kukuh adalah penting untuk pertumbuhan mampan, yang membolehkan peningkatan pendapatan dan ruang fiskal, seterusnya membolehkan pelaburan yang lebih besar dalam pendidikan, penjagaan kesihatan, dan mobiliti social," ujarnya lagi.


Keduanya kata Perdana Menteri, kerajaan perlu mengutamakan projek penting seperti pendidikan, penyelidikan, penjagaan kesihatan dan infrastruktur asas, termasuk menangani isu kemiskinan dan masalah tahunan seperti banjir.


"Inilah asas Ekonomi MADANI, ekonomi berperikemanusiaan untuk keadilan sosial, yang telah kita perjuangkan selama beberapa dekad dan ditegaskan dalam Forum Megatrends Khazanah tahun lalu," katanya.


Selain itu, kata beliau kepimpinan negara perlu memanfaatkan idea melalui dialog, diskusi, dan debat selain nilai intelektual sebagai pendekatan untuk memperkukuh dasar-dasar negara.


"Ini juga memberikan makna kepada akauntabiliti demokratik, di mana kita mendengar, berinteraksi, membuat pelarasan yang diperlukan, serta mengakui kelemahan untuk memperbaiki keadaan.


"Tradisi ini tidak asing bagi kita di Timur. Dalam semangat musyawarah dan gotong-royong, serta dalam Islam melalui konsep "syura", — kita diajar untuk berbincang. Namun, apabila keputusan dibuat, kita harus mempunyai azam politik, komitmen, dan semangat untuk melaksanakannya dengan sebaik mungkin," katanya.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page