top of page

ASEAN laksana sinergi dengan BRICS di bawah teraju Malaysia



Malaysia beranggapan sinergi lebih besar boleh dilakukan antara ASEAN dan BRICS apabila negara ini mengambil alih jawatan pengerusi pertubuhan serantau itu pada tahun depan, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.


Beliau berkata Malaysia mahu mempamerkan kepimpinan serantau dalam bidang semikonduktor, peralihan tenaga dan kewangan Islam.


"Secara strategiknya, dorongan untuk multilateralisme akan mewujudkan rantaian nilai lebih kukuh dan melindungi setiap daripada kita daripada kejutan luar dengan mempromosikan integrasi ekonomi lebih besar.


"Negara membangun juga akan mempunyai lebih banyak peluang dalam pelaburan infrastruktur, pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti.


"Ini adalah prinsip yang sama, iaitu keterangkuman dan kelestarian yang akan dipromosikan oleh Malaysia. Ketika kami mengambil alih Kepengerusian ASEAN pada 2025, kami melihat sinergi besar antara ASEAN dengan BRICS," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi kenyataan negara oleh Malaysia pada Sidang Kemuncak BRICS Outreach/BRICS Plus di Kazan, Rusia malam tadi.


Ucapan Rafizi disiarkan secara langsung di platform X rasmi beliau.


Rafizi berkata permohonan Malaysia untuk menyertai BRICS tertumpu untuk membangunkan perkongsian ekonomi, memperkukuh hubungan perdagangan dan mengembangkan potensi pertumbuhan negara.


"Sama ada ia adalah ASEAN atau BRICS, wujud persamaan dari segi prinsip kita. Apabila sebahagian negara di dunia menumpukan kepada aspek dalaman, kami kekal teguh dan terus melibatkan diri secara terbuka," katanya.


Beliau juga menegaskan bahawa Malaysia sedang merangka kedudukan baharu untuk negara ini melaksanakan peranan sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025.


Katanya Malaysia percaya BRICS mampu menjadi penyelesai dan pengimbang kritikal di tengah-tengah dunia sekarang mempunyai banyak pusat kuasa atau pengaruh.


Sehubungan itu, beliau menyarankan apa juga konflik atau isu yang muncul di peringkat antarabangsa, ia tidak seharusnya menjadi halangan kepada pewujudan rantaian nilai lebih kukuh.


"Negara di selatan dunia (Global South) terus terpinggir dan masih kurang diwakili," katanya.


Dalam pada itu, Rafizi menegaskan Malaysia menggesa agar gencatan senjata dilakukan segera dan dikekalkan di samping membenarkan akses kemanusiaan tanpa sekatan ke Gaza.


Tambahnya Malaysia juga mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel terhadap Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan yang mencederakan beberapa angggota pasukan pengaman.


Rafizi berkata, tindakan Israel itu memperlihatkan rejim Zionis sebenarnya langsung tidak mengendahkan sebarang bentuk undang-undang antarabangsa sehingga memperluaskan serangan ke negara lain seperti Lubnan.


"Pada masa ini, Malaysia mempunyai anggota pengaman sendiri, Malbatt 850-11 terdiri daripada 833 anggota yang ditempatkan di Tibnin dan Marakah.


"Reformasi mencukupi perlu dilakukan terhadap Majlis Keselamatan PBB untuk memastikan Israel berhenti membahayakan nyawa," katanya.

Pada sidang kemuncak itu, Malaysia telah diiktiraf sebagai satu daripada 13 negara yang disenaraikan secara rasmi dalam BRICS sebagai negara rakan, sebuah blok yang secara kolektif menyumbang satu perlima daripada perdagangan global.


Selain Malaysia, 12 negara lain adalah Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turki, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam.


BRICS mewakili kira-kira 40 peratus daripada populasi global dan secara kumulatif menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak AS$26.6 trilion (RM115.4 trilion) atau 26.2% daripada KDNK dunia, hampir menyamai kekuatan ekonomi kumpulan G7.

BRICS yang pada asalnya dianggotai oleh Brazil, Russia, India dan China telah ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama bagi ekonomi sedang membangun dengan Afrika Selatan menyertai pada 2010.


Sejak itu, blok berkenaan telah berkembang untuk merangkumi Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

0 comments

Commentaires


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page