![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_aacd512e893b4091bb56983e18c00d23~mv2.jpg/v1/fill/w_700,h_466,al_c,q_80,enc_avif,quality_auto/4449e2_aacd512e893b4091bb56983e18c00d23~mv2.jpg)
ASEAN mampu melakukan pemulihan ekonominya secara kolektif menerusi kepimpinan Malaysia dalam pertubuhan serantau itu dengan memacu kemasukan pelaburan global bernilai tinggi, kata pakar.
Profesor Pengajian ASEAN Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Phar Kim Beng dan perunding bebas CW Sim berkata ekonomi ASEAN tidak “kehilangan taringnya” pada waktu ini tetapi berevolusi ke arah model pertumbuhan yang lebih tepat, bernilai tinggi dan mampan.
"Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia berada dalam kedudukan unik untuk memimpin perubahan ini. Malaysia mesti menjadi peneraju ekonomi ASEAN—bukan sekadar pengikut.
"Ini bukan sekadar soal kepentingan negara malah ia juga membuka peluang kepada pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan kepimpinan ekonominya sebelum Pilihan Raya Umum 2026," kata mereka dipetik daripada tulisan "ASEAN’s Economic Future: Not a Decline, But a Strategic Realignment Led by Malaysia".
Kedua-dua pakar itu berkata, dunia akan menumpukan perhatian kepada ASEAN dengan hala tujunya bakal dicorakkan oleh kepimpinan Malaysia di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Negara ini, kata Kim Beng dan Sim, bukan sahaja perlu memimpin pemulihan ekonomi kolektif ASEAN malah menjadi penggerak utama di sebalik transformasi ini.
"Meskipun Barat bersikap pesimis dengan hanya menumpukan kepada cabaran ASEAN, negara anggota pertubuhan serantau itu mempunyai keupayaan untuk memanfaatkan peralihan rantaian bekalan dan transformasi industri," kata mereka.
Di bawah pentadbiran PM Anwar, tiga keutamaan strategik telah digariskan untuk ekonomi Malaysia berdaya saing menarik kemasukan pelaburan iaitu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) di mana negara ini dan Singapura perlu memperdalam integrasi industri, menjadikannya sebagai hab utama pelaburan global.
Kata mereka, zon ekonomi bebas itu menyasarkan untuk menarik AS$20 bilion pelaburan baharu dalam sektor pembuatan menjelang 2026, sekali gus mewujudkan rantaian bekalan industri rentas sempadan terbesar di ASEAN.
Keduanya, dana Pelaburan Tenaga ASEAN - Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang menggerakkan modal Asia Barat ke dalam ekonomi ASEAN.
"Malaysia harus menerajui penubuhan "Dana Pelaburan Tenaga ASEAN-GCC" bagi menyalurkan modal dari Arab Saudi dan UAE ke dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, infrastruktur, dan industri ASEAN.
"Sasarannya ialah memastikan sekurang-kurangnya AS$50 bilion pelaburan dari Timur Tengah ke pasaran ASEAN menjelang 2026," kata Kim Beng dan Sim.
Ketiga, Malaysia mesti memimpin pembangunan rantaian bekalan semikonduktor ASEAN, bekerjasama dengan Thailand, Vietnam dan Indonesia bagi mengurangkan kebergantungan kepada Amerika Syarikat (AS) dan China.
Jelas pakar tersebut kesepakatan dalam rantaian bekalan semikonduktor ASEAN akan memperkukuh kedudukan pertubuhan serantau itu dalam industri cip global.
"Sasarannya ialah memeterai Perjanjian Kerjasama Semikonduktor ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN 2025 dan membangunkan hab pembuatan cip serantau menjelang 2027," kata mereka lagi.
Comentarios