Malaysia komited meletakkan rantau ini sebagai peneraju global dalam tadbir urus digital, telekomunikasi dan multimedia yang beretika, inovatif dan inklusif.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, Kepengerusian ASEAN Malaysia tahun ini memberi peluang untuk menjalin kerjasama erat dengan rakan-rakan serantau, malah membuka ruang memangkin usaha dalam memacu inisiatif-inisiatif serantau dan membentuk dasar bagi ruang dalam talian yang berkembang pesat.
"Semangat kolaborasi ASEAN dan visi bersama menyediakan suatu asas yang kuat untuk menangani cabaran rentas sempadan dan menerusi kepimpinan kami, kami menyasarkan untuk mewujudkan rangka kerja bagi inovasi digital, keselamatan siber dan akses saksama kepada teknologi," katanya.
Beliau berkata begitu dalam ucaptama pada Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2025 bertemakan 'Leaping into the Quantum Frontier: Regulation and Innovation in the Tech Era', di Kuala Lumpur pada Selasa.
Dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menghimpunkan pemimpin industri, penggubal dasar dan pakar global antaranya dari ASEAN, Australia, Amerika Syarikat dan Arab Saudi.
Sementara itu tambahnya, dengan membangunkan peraturan yang seragam di rantau ini, Malaysia menyasarkan untuk memastikan lebih 700 juta warga ASEAN meraih faedah daripada kemajuan teknologi dan menerajui perbincangan mengenai tadbir urus telekomunikasi dan multimedia beretika, sekali gus memastikan ASEAN kekal di barisan hadapan kemajuan teknologi global.
Malaysia juga bercita-cita untuk mengetuai dialog global tentang mengemudi peningkatan kesalinghubungan yang semakin rumit.
"Dalam landskap ekosistem dalam talian global yang pesat berubah, kita bukan lagi pemerhati pasif tetapi arkitek aktif suatu masa depan yang menjanjikan kesalinghubungan, cabaran dan peluang yang belum pernah berlaku sebelum ini," kata Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu.
Comments