Kerajaan menyasarkan urusniaga lebih RM1 bilion pada Pameran Seni Bina, Reka Bentuk Dalaman dan Bangunan Antarabangsa (ARCHIDEX) 2024 yang sedang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Rabu.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata, ekspo pembinaan itu mampu menarik minat pengunjung dengan tarikan utama model bandar pintar yang dipelopori syarikat dari China.
Pembabitan syarikat pembinaan terbesar dari China dan 17 syarikat gergasi lain pada acara itu jelasnya bakal membantu menggalakkan potensi dagangan negara.
"Kita jangka 40,000 pengunjung untuk lawat ekspo ini. Kita juga menjangkakan nilai dagangan boleh mencecah lebih RM1 bilion.
"Kali ini kita nampak ada lebih kurang 17 syarikat besar dari China termasuk CRCC, syarikat pembinaan terbesar di dunia dan kini mereka sedang membina Pavilion di sini di mana tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Ini adalah permulaan baik dan kita akan teruskan dengan meneroka peluang serampang mata untuk bantu industri tempatan dan belajar antara satu sama lain bagi mewujudkan lebih prospek dan kemakmuran bersama," katanya pada sidang media.
Archidex 2024 disertai kira-kira 700 pempamer dari 15 negara dan wilayah dengan jangkaan kehadiran pelawat dari lebih 100 negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir merasmikan pameran edisi ke-23 itu semalam.
Comments