Isu anak anak terutama di kawasan luar bandar yang tidak berdokumen dan tidak pergi ke sekolah masih terus wujud di Sarawak.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Senator Abun Sui Anyit, biarpun telah lebih setahun sejak Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenal dan memperluaskan konsep Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) di Semenanjung Malaysia seterusnya ke Sabah dan Sarawak bagi memelihara pendidikan kanak-kanak jalanan dan terpinggir, malangnya isu tersebut masih tidak selesai.
Beliau bertanya, sama ada program tersebut telah dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak atau tidak, bagi mengatasi masalah kanak kanak tercicir pendidikan.
"Saya ingin bertanya kepada Menteri Sarawak yang mengawal Jabatan Pendidikan di Sarawak, sama ada polisi SBJK ini sudah dimulakan di Sarawak?
"Jika ya, kenapa masih ramai kanak kanak terutamanya Bumiputra yang tiada dokumen di Sarawak tidak bersekolah, malah ditolak untuk terus bersekolah di Sarawak.
"Apakah kekangan yang menyebabkan kanak-kanak ini tidak diterima di sekolah kerajaan?" tanyanya.
Abun Sui yang juga Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang berkata, berdasarkan hasrat Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek agar SBJK diperluaskan ke Sarawak, sepatutnya kanak-kanak Orang Asal sudah berada di sekolah setiap hari mengikuti alam persekolahan tetapi sebaliknya yang berlaku.
"Saya bimbang jika Sarawak benar-benar diberi hak mengawal pendidikan, adakah perkara begini akan berterusan," katanya lagi.
Untuk rekod, masalah dokumentasi merupakan isu berlanjutan di Sarawak terutama kepada Bumiputera yang menghuni daerah pedalaman dan tidak mempunyai pengangkutan yang sesuai untuk mendaftarkan kelahiran.
Tanpa dokumen lengkap maka anak anak tersebut tidak dibenarkan masuk ke sekolah kerajaan.
Commentaires