top of page

Apa Rakyat Perlu Tahu Tentang Perlesenan Media Sosial (Siri 2)



8. Penyedia perkhidmatan manakah yang akan dilesenkan di bawah kerangka kawal selia ini?


Secara umumnya, pihak penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial utama termasuk tetapi tidak terhad kepada Facebook, Facebook Messenger, Instagram, TikTok, WhatsApp, Telegram, WeChat, X dan YouTube akan berada di bawah kerangka kawal selia ini, tertakluk kepada Penyedia Perkhidmatan tersebut mempunyai sekurang-kurangnya lapan (8) juta pengguna di Malaysia.




9. Apakah kriteria untuk memohon lesen ASP (C)?


Kriteria-kriteria untuk memohon lesen ASP (C) adalah seperti berikut:


• Fi pendaftaran

• Permohonan pelesenan dibuat oleh syarikat yang diperbadankan di Malaysia

• Pengemukaan dokumen berdasarkan senarai semak permohonan Lesen Kelas (contoh: borang permohonan, profil syarikat, maklumat perkhidmatan dan lain-lain)



10. Adakah pemerbadanan tempatan (local incorporation) penyedia perkhidmatan merupakan satu keperluan mandatori kriteria pelesenan?


Pemerbadanan tempatan sesebuah entiti adalah satu kriteria prakelayakan untuk pelesenan. Bagaimanapun, di bawah sub-peraturan 23 (2) LR 2000, Menteri mempunyai budi bicara untuk membenarkan mana-mana syarikat asing untuk didaftarkan sebagai pemegang lesen bergantung kepada keperluan tertentu (case-to-case basis).


11. Adakah terdapat sebarang sekatan berkenaan pegangan saham asing di bawah Lesen Kelas?


Tiada. Tidak ada sebarang sekatan dikenakan berkenaan pegangan saham asing

di bawah Lesen Kelas.


12. Berapa lamakah tempoh sah lesen tersebut?


Tempoh sah untuk Lesen Kelas adalah satu (1) tahun daripada tarikh pendaftaran dan Penyedia Perkhidmatan perlu memohon semula setiap tahun dengan syarat mereka memenuhi kriteria sekurang-kurangnya lapan (8) juta pengguna di Malaysia.


13. Apakah kewajipan-kewajipan utama yang terpakai kepada Penyedia Perkhidmatan selepas mereka dilesenkan oleh MCMC?


Pematuhan kepada AKM 1998


Antara lain, penyedia perkhidmatan mesti mematuhi arahan MCMC yang dikeluarkan menurut seksyen 51 berhubung dengan pematuhan AKM 1998, perundangan subsidiari, atau mana-mana syarat lesen.


Penyedia Perkhidmatan juga dikehendaki mematuhi kewajipan am pemegang lesen menurut seksyen 263:

  • menggunakan dengan sedaya upayanya bagi mencegah perkhidmatan aplikasi yang diberikan daripada digunakan dalam, atau berhubung dengan pelakuan apa-apa kesalahan di bawah mana-mana undang-undang Malaysia; dan

  • membantu MCMC atau mana-mana pihak berkuasa lain dalam mencegah perlakuan atau cubaan pelakuan sesuatu kesalahan di bawah mana-mana undangundang bertulis Malaysia.


Pematuhan kepada Syarat Lesen Standard yang Terpakai Kepada Semua Pemegang Lesen ASP (C)4


Syarat-syarat yang dimaksudkan termasuklah:


  • Pematuhan kepada Undang-Undang (a)Pemegang lesen perlu mematuhi peruntukan di bawah AKM 1998 (b)Pemegang lesen perlu mematuhi peruntukan manamana undang-undang subsidiari yang dibuat, atau instrumen-instrumen lain, garis panduan atau dasar kawal selia yang dikeluarkan di bawah AKM 1998.

  • Pematuhan kepada Kod Pengguna

Pemegang lesen perlu mematuhi mana-mana kod pengguna yang didaftarkan di bawah AKM 1998 yang berkaitan dengan aktiviti-aktiviti pemegang lesen.


Syarat Lesen Standard ini terpakai kepada semua pemegang lesen kategori ASP (C) termasuk penyedia perkhidmatan awan, penyedia perkhidmatan capaian Internet, dan perkhidmatan selular awam.

  • Indemniti

Pemegang lesen perlu menanggung rugi Menteri dan MCMC daripada sebarang tuntutan atau prosiding yang timbul daripada sebarang pelanggaran atau kegagalan di pihak pemegang lesen.

  • Syarat-syarat standard yang lain

Syarat-syarat standard lain serta perkara yang diisytiharkan oleh Menteri atau diperuntukkan dalam mana-mana perundangan subsidiari di bawah AKM 1998.


Pematuhan Kepada Perundangan Subsidiari


  • Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Pelesenan) 2000

  • Perintah Komunikasi dan Multimedia (Pelesenan) Pengecualian) 2000

  • Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Pemberian Perkhidmatan Sejagat) 2002

Pematuhan kepada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010


14. Apakah keperluan tatalaku yang akan dikenakan kepada Penyedia Perkhidmatan?


Semasa tempoh penangguhan (grace period), MCMC akan membangunkan garis panduan komprehensif yang memperincikan keperluan tatalaku dan tanggungjawab yang perlu dipatuhi oleh Penyedia Perkhidmatan ketika beroperasi di Malaysia.


Antara lain, Penyedia Perkhidmatan perlu memperkukuh:

• langkah-langkah dan polisi berkaitan perlindungan data pengguna

• langkah-langkah keselamatan kanak-kanak termasuk pengesahan umur untuk menghalang pengguna di bawah umur 13 tahun daripada mengakses platform yang dikendalikan oleh Penyedia Perkhidmatan

• polisi dan langkah-langkah untuk menangani kemudaratan dalam talian termasuk buli siber, penipuan dalam talian dan aktiviti pengantunan seksual

• polisi dan langkah-langkah penyederhanaan kandungan

• ketelusan dalam pengiklanan dan menghalang pengiklanan yang mempromosikan penipuan

• langkah-langkah untuk melindungi golongan bawah umur daripada kandungan mudarat dan iklan-iklan yang mengelirukan

• langkah-langkah untuk memudahkan prosedur aduan untuk pengguna dan tempoh tindak balas

• langkah-langkah untuk menangani deepfakes dan kemudaratan yang dijana oleh Kecerdasan Buatan (AI)

• langkah-langkah pelaporan secara berkala berkenaan pematuhan Penyedia Perkhidmatan kepada undang-undang Malaysia dan keperluan tatalaku


15. Adakah MCMC akan mengadakan rundingan awam untuk membangunkan garis panduan mengenai keperluan tatalaku bagi Penyedia Perkhidmatan?


Ya, MCMC akan mengadakan rundingan awam untuk membangunkan garis panduan tersebut. Semua pemegang taruh termasuklah Penyedia Perkhidmatan, CSO, NGO, LEA, tokoh-tokoh akademik, pakar serta individu, adalah dijemput untuk memberikan maklum balas mengenai garis panduan tersebut sebaik sahaja proses rundingan awam bermula.


16. Apakah yang akan terjadi jika perkhidmatan yang ditawarkan oleh Penyedia Perkhidmatan tidak mendapatkan lesen yang dikehendaki bermula 1 Januari 2025?


Sekiranya mana-mana Penyedia Perkhidmatan beroperasi tanpa lesen bermula 1 Januari 2025, tindakan boleh dikenakan di bawah seksyen 126 AKM 1998. Jika disabitkan kesalahan, Penyedia Perkhidmatan berkenaan boleh dikenakan denda

tidak melebihi RM500,000 atau lima (5) tahun penjara, atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu berterusan selepas pensabitan.


17. Apakah langkah-langkah yang boleh diambil oleh MCMC terhadap Penyedia Perkhidmatan berlesen yang melanggar syarat lesen dan/atau keperluan tatalaku?


MCMC akan mempertimbangkan keseriusan pelanggaran, impak serta kekerapan dan rekod pematuhan Penyedia Perkhidmatan yang dimaksudkan dalam memutuskan tindakan yang bersesuaian terhadap mereka. Dalam perkara ini, MCMC boleh mengambil tindakan merangkumi amaran pentadbiran, pengeluaran arahan pematuhan untuk membetulkan pelanggaran, mengenakan penalti sivil atau pengkompaunan kesalahan dalam menangani isu pelanggaran ini secara berkadar. Dalam kes pelanggaran yang lebih berat, MCMC boleh menyekat capaian kepada platform Penyedia Perkhidmatan tersebut; membatalkan lesen ASP (C); atau memulakan pendakwaan.


18. Selepas penyedia perkhidmatan dilesenkan, adakah mereka boleh mencabar keputusan atau arahan tersebut?


Ya, keputusan atau arahan MCMC adalah tertakluk kepada proses dan prosedur yang diperuntukkan di bawah AKM 1998. Di bawah AKM 1998, terdapat perlindungan kukuh untuk mengimbangi keperluan kawal selia, proses undangundang yang sewajarnya dan perlindungan ke atas kebebasan bersuara.


Sebagai contoh, seksyen 51 AKM 1998 memperuntukkan bahawa MCMC boleh mengeluarkan arahan kepada mana-mana pihak berhubung pematuhan syarat lesen, peruntukan di bawah AKM 1998 dan mana-mana perundangan subsidiari.


Walau bagaimanpun, pengeluaran arahan ini tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya dan mesti mematuhi proses undang-undang yang sewajarnya. Orang itu akan diberikan peluang untuk didengari sebelum keputusan atau arahan dibuat.


Selain itu, sekiranya mana-mana Penyedia Perkhidmatan terkesan dengan keputusan atau arahan MCMC, mereka boleh mengemukakan rayuan kepada Tribunal Rayuan yang ditubuhkan di bawah AKM 1998 dan selanjutnya merujuk kepada semakan kehakiman.


19. Adakah terdapat mana-mana pihak yang pernah mencabar keputusan atau arahan MCMC di Tribunal Rayuan?


Ya, terdapat beberapa pemegang lesen di bawah AKM 1998 yang telah mengemukakan rayuan kepada Tribunal Rayuan mengenai pelbagai isu sejak 2020. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk di Tribunal Rayuan dan Komunikasi dan Multimedia


20. Apakah signifikan kerangka kawal selia ini kepada Malaysia?


Keperluan pelesenan bertujuan untuk memupuk suatu persekitaran dalam talian yang selamat dan boleh dipercayai menerusi langkah-langkah proaktif oleh penyedia perkhidmatan bagi melindungi pengguna melalui amalan penyederhanaan yang ditambah baik, keperluan tatakelola yang jelas dan pematuhan kepada undang-undang Malaysia.


Orang awam akan mendapat manfaat daripada penambahbaikan keselamatan dan penyedia perkhidmatan akan dipertanggungjawabkan ke atas operasi mereka di Malaysia.


Pengguna boleh menjangkakan persekitaran dalam talian yang lebih selamat, perlindungan yang lebih baik terhadap kandungan memudaratkan serta saluran yang jelas untuk menangani sebarang aduan dan kebimbangan.

21. Bagaimana negara dan rantau lain mengawal selia perkhidmatan dalam talian?


Kerangka ini telah ditanda aras dan selari dengan amalan global terbaik dan perkembangan yang dilihat di Singapura, Indonesia, India, Australia, United Kingdom (UK), Ireland, Jerman dan Kesatuan Eropah (EU) yang telah pun memperkenalkan kaedah kawal selia domestik ke atas perkhidmatan dalam talian termasuk penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial.


Walaupun pendekatan berbeza digunakan dalam kaedah mengawal selia perkhidmatan dalam talian di negara-negara dan rantau lain, terdapat persamaan yang utama dari segi pelaksanaannya. Antara lain, terdapat kesepakatan dalam mencegah kandungan mudarat serta memastikan perkhidmatan dalam talian mempunyai tanggungjawab untuk melindungi pengguna mereka.


Selain daripada itu, lain-lain aspek yang turut ditanda aras termasuklah perlindungan ke atas data pengguna, langkah-langkah keselamatan kanak-kanak, memerangi gangguan dalam talian dan buli siber, penggunaan data pengguna untuk tujuan pengiklanan secara beretika, serta pemerkasaan pengguna.


Untuk maklumat lanjut, sila hubungi: policy.review@mcmc.gov.my

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page