1. Apakah objektif kerangka kawal selia ini?
Objektif kerangka kawal selia ini adalah untuk mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk semua rakyat Malaysia, terutamanya untuk kanak-kanak dan mereka yang terdedah kepada kemudaratan dalam talian.
Perkembangan semasa telah menunjukkan peningkatan dalam kemudaratan dalam talian terutamanya yang melibatkan kanak-kanak. Merujuk kepada laporan ECPAT1 pada 2022, seramai 100,000 kanak-kanak di Malaysia berisiko kepada pengeksploitasian seksual dalam talian.
Satu laporan UNODC2 bertajuk Casinos, Money Laundering, Underground Banking, and Transnational Organized Crime in East and Southeast Asia: A Hidden and Accelerating Threat yang diterbitkan pada 2024 pula melaporkan di Malaysia, laporan transaksi mencurigakan (“STR”) berkaitan dengan judi dalam talian telah meningkat hampir dua kali ganda antara 2019 dan 2022, mencecah lebih daripada 42,000 laporan. Nilai STR membabitkan jumlah transaksi juga meningkat dengan ketara sebanyak 273% kepada lebih RM26 bilion atau bersamaan dengan AS$5.5 bilion dalam tempoh yang sama.
Buli siber juga merupakan isu utama ketika ini apabila 28% daripada kanak-kanak di Malaysia telah menjadi mangsa keganasan dalam talian atau buli siber berdasarkan kepada satu laporan oleh UNICEF pada 2019. Tambahan pula, MCMC telah menerima sejumlah 9,483 laporan buli siber bagi tempoh antara Januari 2022 sehingga Julai 2024.
Dalam pada itu, menurut Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes penipuan dalam talian di Malaysia meningkat dua kali ganda daripada 17,688 kes pada 2019 kepada 34,495 kes pada 2023. Jabatan berkenaan turut melaporkan jumlah kerugian akibat penipuan atau scam bernilai RM1.4 bilion bagi tempoh antara Januari sehingga Julai 2024.
Mengambil kira peningkatan kemudaratan dalam talian mutakhir ini, seperti yang disokong oleh data di atas, intervensi kawal selia adalah sangat penting dan tepat pada masanya. Kerangka kawal selia ini akan memastikan penyedia perkhidmatan
pesanan Internet dan media sosial (“Penyedia Perkhidmatan”) dipertanggungjawabkan untuk menguruskan operasi mereka dengan lebih baik di Malaysia termasuk menangani secara efektif kandungan yang mudarat, selain memperkukuhkan sistem dan proses mereka dalam mengurangkan jenayah siber pada platform mereka.
2. Apakah pendekatan kawal selia untuk Penyedia Perkhidmatan di Malaysia?
Pendekatan kawal selia yang diambil adalah untuk meletakkan pihak Penyedia Perkhidmatan yang berkenaan di bawah lingkungan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (“AKM 1998”) menerusi keperluan pelesenan.
Sebelum ini, tiada keperluan pelesenan dikenakan ke atas Penyedia Perkhidmatan. Perintah Komunikasi dan Multimedia (Pelesenan) (Pengecualian) 2000 (“EO 2000”) dan Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Pelesenan) 2000 (“LR 2000”) telah dipinda pada 1 Ogos 2024 untuk memasukkan kategori Penyedia Perkhidmatan yang perlu dilesenkan berpandukan kepada kriteria spesifik.
Butiran EO 2000 dan LR 2000 boleh diakses di laman sesawang MCMC: https://www.mcmc.gov.my/en/home
3. Adakah sesi libat urus dijalankan oleh MCMC sebelum kerangka kawal selia ini dimuktamadkan?
Ya, beberapa sesi libat urus telah diadakan dengan Penyedia Perkhidmatan, Pertubuhan Masyarakat Sivil (“CSO”), Badan Bukan Kerajaan (“NGO”), Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang (“LEA”) dan lain-lain pemegang taruh daripada Januari 2024 sehingga Julai 2024. MCMC akan meneruskan pendekatan kolaboratif dan kerjasama ini dengan semua pihak.
4. Penyedia perkhidmatan manakah yang dikehendaki untuk dilesenkan di bawah AKM 1998?
Kerangka kawal selia ini hanya terpakai kepada:
a) penyedia perkhidmatan pesanan Internet; dan
b) penyedia perkhidmatan media sosial.
5. Adakah ini bermakna bahawa semua penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial perlu dilesenkan di Malaysia?
Tidak, hanya penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan (8) juta pengguna di Malaysia dikehendaki untuk dilesenkan di bawah AKM 1998.
6. Bagaimanakah MCMC akan menentukan bilangan pengguna Malaysia di platform yang dikendalikan oleh Penyedia Perkhidmatan?
MCMC akan menggunakan data daripada survei rasminya termasuk Kajian Pengguna Internet MCMC bagi menentukan bilangan pengguna. MCMC akan turut mengambilkira data-data lain yang tersedia secara umum dan boleh dipercayai.
7. Bilakah tarikh kuat kuasa bagi keperluan pelesenan ini?
Pihak Penyedia Perkhidmatan mempunyai tempoh penangguhan (grace period) selama lima (5) bulan daripada tarikh pewartaan (1 Ogos 2024) untuk memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (“ASP (C)”) dan mematuhi keperluan pelesenan. Tarikh kuat kuasa bagi keperluan pelesenan ini adalah pada 1 Januari 2025.
Nota: Walau bagaimanapun, sepanjang tempoh penangguhan (grace period) ini, Penyedia Perkhidmatan dikehendaki untuk menggunakan sedaya upaya usaha bagi memerangi kemudaratan dalam talian di platform mereka seperti buli siber, penipuan dan judi dalam talian dan bahan-bahan penderaan seksual terhadap kanak-kanak.
Comments