Apakah justifikasi bagi penetapan bantuan Budi Madani RM200 untuk pemilik kenderaan diesel individu, pekebun kecil dan petani?
Bantuan tunai ini adalah untuk penerima menampung peningkatan kos bahan api berikutan penyasaran subsidi diesel. Ia bukan bertujuan untuk menampung sepenuhnya kos minyak pemilik kenderaan diesel atau peladang yang menggunakan mesin diesel.
Berdasarkan data Jabatan Perangkaan, kira-kira 80% pengguna kereta diesel dari isi rumah dengan pendapatan di bawah RM100,000 setahun melakukan perjalanan kurang dari 70km sehari. Ini bermakna bantuan BUDI MADANI sebanyak RM200 sebulan dijangka memadai untuk menampung kenaikan harga diesel ekoran penyasaran subsidi ini.
Bagaimana kaedah penyasaran subsidi ini mampu mengelakkan daripada kenaikan harga barangan asas dan kos sara hidup rakyat?
Sektor Logistik yang terlibat secara langsung dengan pengangkutan barangan darat masih kekal menikmati harga diesel pada harga sekarang iaitu RM2.15 seliter dengan penggunaan fleet card selepas harga diesel di pam diapungkan.
Bagi pengangkutan darat awam, sektor ini masih kekal menikmati subsidi diesel pada harga yang lebih rendah iaitu RM1.88 seliter. Pengangkutan darat awam yang layak juga boleh memohon melalui MySubsidi Diesel kategori Pengangkutan darat Awam yang telah dilaksanakan sejak tahun 2013.
Selain itu, bantuan tunai juga disediakan kepada kenderaan persendirian milik individu untuk membantu petani dan pekebun kecil bagi mengurangkan kenaikan kos harian akibat kenaikan harga diesel.
Langkah-langkah ini akan membantu mengurangkan impak kenaikan harga barangan asas, dan dalam masa yang sama langkah penguatkuasaan juga akan diperkukuh bagi memastikan para peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan sewenang-wenangnya.
Pelbagai operasi penguatkuasaan juga akan diperkasakan dan ditingkatkan seperti OPS KESAN, OPS CATUT, OPS TERJAH, OPS TIRIS, OPS MENU, OPS PASAR dan OPS SAMAR bagi memastikan bekalan sentiasa stabil dan mengekang elemen pencatutan di pasaran.
Mengapakah kenderaan mewah dikecualikan dari BUDI Individu dan apakah takrifan kenderaan mewah?
Penyasaran subsidi diesel adalah untuk memastikan perbelanjaan subsidi diberikan kepada golongan yang layak sahaja.
Oleh itu, kerajaan telah meletakkan syarat supaya penerima BUDI Individu terdiri dari mereka dengan pendapatan isi rumah kurang dari RM100,000 setahun dan bukan pemilik kereta mewah.
Jenama kenderaan mewah yang tidak layak termasuk BMW, Mercedes, Audi, Porsche dan Hummer. Bagi jenama-jenama ini, hanya kenderaan berusia bawah 10 tahun yang tidak layak.
Kenderaan diesel yang lazim digunakan oleh rakyat seperti Toyota Hilux, Isuzu DMax, Ford Ranger tidak termasuk dalam kategori ini kerana kerajaan sedar bahawa kenderaan jenis ini biasa digunakan oleh peniaga PMKS.
Pada masa yang sama, pemohon perlu memenuhi kriteria tambahan berikut untuk layak:
Pemohon merupakan warganegara Malaysia;
Memiliki kenderaan diesel persendirian yang berdaftar dengan JPJ kecuali kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun;
Kenderaan yang dimiliki mempunyai cukai jalan yang aktif;
Pendapatan tahunan individu atau pasangan RM100,000 dan ke bawah.
Comments