Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada calon Republikan Donald J. Trump yang berjaya sekali lagi menduduki kerusi Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-47 setelah muncul sebagai pemenang dalam pilihan raya Presiden negara itu hari ini.
Perdana Menteri yang menyifatkan ia kebangkitan politik yang luar biasa, fasa baharu kepimpinan AS itu dapat memberikan peluang baharu kepada Malaysia yang bersedia untuk bekerjasama bagi bergerak ke hadapan dengan penuh keyakinan.
"Tahniah kepada Donald J. Trump atas kebangkitan politiknya yang luar biasa dan kemenangan dalam pilihan raya Presiden AS. Fasa baharu ini membawa peluang baharu dan kami bersedia untuk bergerak ke hadapan dengan keyakinan, kerjasama dan tujuan bersama," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata Amerika Syarikat kekal sebagai sumber pelaburan asing terbesar Malaysia dan pemain penting di rantau Asia-Pasifik.
"Sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia berharap Amerika akan menyemarakkan lagi penglibatannya dengan Asia Tenggara," katanya.
Tambah beliau, Malaysia juga menggesa AS untuk menggunakan pengaruhnya yang besar untuk membantu menamatkan keganasan dan kehilangan nyawa di Palestin dan Ukraine.
"Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan presiden yang akan datang untuk memupuk manfaat bersama bagi rakyat kedua-dua negara kita," katanya lagi.
Laporan media antarabangsa menyebut Donald Trump telah dipilih sebagai presiden ke-47 Amerika Syarikat, kemunculan semula yang luar biasa bagi bekas presiden yang enggan menerima kekalahan empat tahun lalu, mencetuskan pemberontakan ganas di Capitol AS, disabitkan dengan tuduhan jenayah dan terselamat daripada dua percubaan pembunuhan.
Trump menguasai 277 undi elektoral iaitu 51 peratus mengalahkan pencabarnya bekas Naib Presiden AS Kamala Harris dari Demokratik yang mendapat 224 undi.
*Kredit foto: FB Anwar Ibrahim
Comments