Oleh: Akmal Manaf
Meskipun baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Rio De Janeiro, Brazil, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap ceria dan bersemangat menyantuni penyokong dan ahli parti yang setia menunggu kepulangan beliau.
Keperibadian dimiliki Perdana Menteri (PM) itu diakui Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis Malaysia (PKORM), Mustapa Mansor Amer Mohd Isa yang turut berada di stesen minyak Petronas KLIA arah ke Kuala Lumpur menyertai himpunan sambutan kepulangan PM.
Katanya, Presiden KEADILAN itu kelihatan ceria dan bersemangat yang sesuai dengan gelaran baharunya 'Hero Palestin'.
''Walaupun ada seseorang (pembangkang) yang tak berapa suka dengan panggilan 'Hero Palestin', tapi sebagai pendukung reformasi, kita mesti rasa bahagia, bersyukur dan berterima kasih ke hadrat Allah.
''Syukur kerana (Allah) telah mengurniakan kami seorang pemimpin berjiwa besar yang boleh membawa perubahan bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia.
''Kalau ada sesiapa yang cuba mempermainkan (isu) kononnya Malaysia, Perdana Menteri atau menteri-menterinya mengiktriaf Israel, itu adalah sesuatu yang amat menjelikkan,'' katanya ketika ditemui Suara Keadilan, di Sepang, hari ini.
Selain itu, turut kelihatan adalah Timbalan Pengerusi Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat, Mejar (B) Razali Zakaria yang memuji tindakan Anwar turun daripada kereta untuk bertemu rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
''Yang terbaiknya PMX turun daripada kereta terus menyantuni kami dan semua dapat salam. Satu sambutan yang hebat.
''Ia adalah tanda sokongan kita kepada Hero Palestin (Anwar). Kalau tak dapat pergi ke Palestin, kita sokong PMX untuk memperjuangkan Palestin,'' seru beliau.
Seorang lagi yang hadir menyambut kepulangan PMX adalah Ketua Biro Politik Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat, Shahbudin Embon.
Beliau menyifatkan Anwar kelihatan ceria dan begitu bersemangat untuk terus mentadbir negara dan meneruskan perjuangan membela Palestin.
"Saya melihat wajah PMX begitu ceria dan saya rasa beliau begitu bersemangat untuk meneruskan, mentadbir negara dan memperjuangkan nasib Palestin
"Bagi sesiapa 'pelesit' yang ingin meneruskan cita cita untuk memfitnah PMX, lupakanlah," katanya.
Pesawat dinaiki PM tiba di KLIA kira-kira jam 11 pagi tadi membawa pulang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melakukan lawatan kerja di lima buah negara sejak seminggu lalu.
Comments