Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PM India, Narendra Modi sependapat untuk meningkatkan lagi usaha bagi menjamin keamanan dunia.
PM Modi mewakili negara paling ramai penduduk di dunia dan merupakan kuasa ekonomi antara 10 terbesar dunia menyentuh isu keamanan dan nilai kebersamaan dalam sepucuk surat yang diterima Anwar semalam sempena Hari Raya Aidiladha.
"Saya telah menerima sepucuk surat daripada Perdana Menteri India, Narendra Modi yang mengutuskan ucapan Eid al-Adha kepada saya dan seluruh rakyat Malaysia.
"Kami senada berpendapat, keamanan dunia bergantung kepada nilai kebersamaan antara satu sama lain sambil menerapkan prinsip kemanusiaan, ihsan serta pengorbanan dalam membina sebuah negara maju," katanya dalam catatan di Facebook.
Selain itu, Anwar juga menyatakan beliau bersetuju dengan aspek kebudayaan turun temurun dan saling menghormati antara agama yang menjadi kekuatan kedua dua negara Malaysia dan India.
"Saya bersetuju dengan PM Modi yang menyentuh aspek budaya dan warisan turun menurun dalam menghormati satu sama lain perlu terus dijulang dan diraikan di seluruh pelusuk dunia ketika meraikan hari mulia ini.
"Mendoakan agar PM Modi terus diberikan kesihatan yang baik selain hubungan Malaysia dan India terus diperkukuhkan demi manfaat bersama," katanya.
Modi sebelum ini menjalin hubungan baik dengan Anwar yang mana wakil kerajaan India pernah mengadakan kunjungan diplomasi ketika Anwar masih bergelar Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.
Comments