
Oleh: Akmal Manaf
Cadangan mengehadkan tempoh seseorang memegang jawatan Perdana Menteri hanya untuk jangkamasa 10 tahun akan dikaji secara mendalam.
Menurut Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Mesyuarat Kabinet pagi tadi telah meminta diteliti dan dikaji cadangan mengehadkan tempoh jawatan itu kerana sebelum ini tiada had bagi seseorang menyandang jawatan terbabit.
Katanya, permintaan oleh PM itu susulan sebarang perkara ke arah pindaan Perlembagaan memerlukan pertimbangan yang cukup mendalam.
''Hal ini (tempoh jawatan PM) ada dibincangkan (pada mesyuarat Kabinet hari ini), tapi ia masih berada di peringkat awal.
''Ia adalah proses yang kompleks, jadi perlu ada pertimbangan termasuk di peringkat negeri,'' katanya dalam sidang media pasca Mesyuarat Jemaah Menteri, di Putrajaya, hari ini.
Fahmi berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan pemberita berhubung perkembangan terkini mengenai cadangan tempoh jawatan PM yang banyak diperkatakan ketika ini.
Cadangan tersebut mula menjadi perhatian apabila dibangkitkan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook sewaktu berucap di Kongres ke-18 DAP di Shah Alam pada Ahad lalu.
Comments