Keperluan rakyat untuk berubah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 ini amat mendesak.
Bagi calon parlimen Pasir Mas, Datuk Husam Musa amat perlu pada PRU kali ini Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri (PM) ke 10 bagi mengelakkan negara terjerumus ke jurang keruntuhan ekonomi.
"Bila Anwar jadi PM? PRU kali ini lah. Kebetulan negara kita berada dalam keadaan terhuyung hayang macam kapal tanpa nakhoda. Ekonomi kita tidak terurus. Politik tidak stabil. Anak muda susah, orang kampung menderita, harga barang tidak terkawal.
"Peluang kerja pula tak ada. Ekonomi di negeri kita tak tersusun. Jadi inilah masanya kita angkat seorang pemimpin yang teruji dan terkenal di peringkat antarabangsa yang boleh menyusun ekonomi dan masyarakat berbagai kaum untuk memimpin.
"Saya berharap pengundi Pasir Mas boleh bersetuju dengan kita. Sama sama berjuang mencapai kemenangan PRU ini. 20 November InshaAllah Anwar jadi PM," katanya dalam majlis memperkenalkan calon di Pasir Mas, malam tadi.
Kata Husam, sekiranya Anwar diangkat sebagai PM maka lebih banyak pembelaan ke atas negeri Kelantan, khususnya Pasir Mas boleh dilakukan bagi membantu penduduknya.
"Lepas dia jadi PM saya akan susun program untuk kita memajukan Kelantan. Saya pun kena menang la juga. Sama sama kita berjaya. Pengundi Pasir Mas bijak membuat keputusan politik luar jangka," katanya.
Selain itu, Husam bernostalgia mengenai harapan ulama terkenal Kelantan, Tok Guru Hj Abdullah Lubuk Tapah yang ingin Anwar menjadi PM suatu hari nanti.
"Ada satu nostalgia. Saya, Datuk Seri Anwar dan Tok Guru Hj Abdullah Lubuk Tapah kami bermalam di rumah tok guru.
"Tok Guru Hj Abdullah secara istimewa mewajibkan Anwar ketika datang berkempen Pilihan Raya Kecil Permatang Pasir kena tidur rumah tok guru.
"Kerana itu dia siapkan satu bilik istimewa. Tok Guru Hj Abdullah beritahu saya berkali kali, ambo nak Anwar jadi PM. Pasal kalau Anwar jadi PM Islam boleh tumpang. Rakyat boleh tumpang. Kerana Anwar ada latar belakang perjuangan Islam.
"Tok Guru Hj Abdullah bukan seperti tok guru sesetengah parti politik hari ini. Tok Guru Hj Lah ini disegani rakyat Kelantan kerana warak dia, kerana ilmu dia, perjuangan dia, pendidikan Islam. Dia bukan orang politik tetapi dia memahami politik," katanya.
Husam turut mengimbau doa Tok Guru Nik Aziz Nik Mat yang masih boleh ditonton videonya di internet mendoakan Anwar untuk menjadi PM, dan rakyat Kelantan katanya, perlu membantu untuk memastikan kerusi kerusi parlimen di negeri itu menjadi milik PH.
Comments