Perdana Menteri (PM) Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu PM Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al Thani semalam di sela sela jadual padat Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Riyadh, Arab Saudi.
Anwar mengadakan perbincangan selama 20 minit bersama rakan sejawatannya itu dan bertukar tukar pandangan mengenai krisis kemanusiaan di Palestin.
"Saya sampaikan setinggi-tinggi penghargaan bagi pihak Malaysia atas peranan Qatar membantu dalam usaha membawa keluar warga Malaysia, Nurul Ain Haron dan suaminya dari Gaza pada November tahun lalu.
"Malaysia juga sedia bekerjasama dengan Qatar dan negara-negara lain di rantau ini untuk memberi bantuan dalam bentuk rawatan kepada warga Gaza yang menjadi mangsa kekejaman Israel," katanya.
Selain isu Palestin, pertemuan berkenaan juga membincangkan potensi kerjasama baharu dalam bidang kewangan Islam, ekonomi digital, keterjaminan makanan dan tenaga boleh diperbaharui di antara kedua dua negara.
"Saya dan Sheikh Mohammed juga berhasrat untuk meningkatkan pelaburan antara kedua-dua negara, serta melonjakkan hubungan perdagangan Malaysia-Qatar," kata Anwar dalam catatan di Facebook.
Comments