Angkat martabat dengan ilmu, bukan fitnah merosakkan - Fadhlina
- Suara Keadilan
- 2 days ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyelar keras tindakan seorang pempengaruh politik yang cuba mencetus kontroversi berkaitan lagu dinyanyikan murid di sebuah sekolah di Perak baru-baru ini.
Fadhlina menerusi satu kenyataan di laman Facebooknya pada Ahad menyifatkan pempengaruh itu mempunyai penyakit 'bebalisme' dan tindakan dilakukannya itu sebagai amat memalukan.
"Mengapa bebalisme? Pertama, memfitnah. Kedua, tidak tahu membezakan lagu Negaraku dan lagu negeri Perak. Ketiga, tidak punya rasa malu menyebarkan fitnah.
"Keempat, langsung tidak bertanggungjawab dengan fitnah dan kebebalan yang disebarkan. Kelima, langsung jahil tentang sejarah lagu negeri," katanya.
Terdahulu tular satu rakaman video oleh seorang pempengaruh wanita pro pembangkang.
Video itu yang disertakan teks dan kapsyen menyatakan kehadiran pemimpin DAP menjadi kontroversi kerana ia seakan-akan menggambarkan lagu 'Negaraku' telah dinyanyikan dalam bahasa Cina.
Susulan itu Kementerian Pendidikan (KPM) tampil menegaskan lagu dinyanyikan itu bukan lagu Negaraku seperti yang didakwa sebaliknya lagu ‘Allah Lanjutkan Usia Sultan’ yang merupakan lagu kebesaran negeri Perak.
Susulan itu beberapa laporan polis telah difailkan terhadap pempengaruh terbabit supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.
Sementara itu Fadhlina menerusi kenyataannya mengingatkan orang ramai supaya mengangkat darjat serta martabat negara dengan kekuatan ilmu dan bukan fitnah yang merosakkan masyarakat.
"Kita harus angkat harakat insan dengan menjadi suri teladan, bukan pempengaruh yang menunggang isu politik seperti ini. Apa yang dipaparkan adalah kejahilan akibat tiada pedoman dan hilang pertimbangan iman akibat lajak memfitnah," tambahnya.
Comments