Kerajaan berharap lebih banyak inisiatif dilakukan dalam mengetengahkan kisah legenda tempatan dan sejarah tanah air sebagai tarikan pelancong ke Malaysia.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengadakan lawatan ke Dream Forest Langkawi berkata pihaknya kagum dengan kreativiti yang ditunjukkan syarikat itu untuk memaparkan keunikan pulau peranginan itu dengan memaparkan kisah legenda dan mitos tempatan.
"Saya berharap lebih banyak inisiatif seperti ini diwujud dan disemarakkan bagi memantapkan sektor pelancongan negara, di samping menghidupkan minat terhadap legenda dan sejarah tanah air.
"Langkawi bukan sahaja sebuah pulau yang indah, tetapi ia penuh dengan kisah dan warisan yang harus ditelaah dan dikaji oleh generasi kini dan akan datang," katanya dalam hantaran di Facebook.
Dalam hantaran sama, Anwar berkata beliau telah menghubungi pemilik Dream Forest Langkawi Puan Sri Tiara Jacquelina Eu Abdullah yang juga aktres terkenal dan suaminya Tan Sri Mohd Effendi Norwawi untuk menyampaikan penghargaan atas usaha mereka dalam merealisasikan inisiatif tersebut.
"Saya usulkan supaya juga ditambah dengan memberi gambaran hala tuju Langkawi dan teknologi baru," katanya.
Comentários