Anggota KEADILAN Sarawak yang telah meninggalkan parti berikutan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan pada 2020 lalu dan ingin menyertai semula boleh diterima, namun perlu mengikuti beberapa syarat.
Hal itu ditegaskan oleh Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sarawak, Roland Engan.
Menurut beliau, keluarnya anggota tersebut tiga tahun lalu telah menjejaskan parti dan kemasukan semula mereka perlulah melalui proses rundingan.
"Apakah KEADILAN Sarawak menerima pimpinan dan anggota parti yang telah meninggalkan parti dan menyertai mana-mana parti untuk menyertai semula KEADILAN Sarawak?
"Saya secara peribadi bersikap terbuka terhadap mereka yang meninggalkan parti sebelum ini.
"Mereka boleh memohon untuk menyertai semula parti dengan cara berunding terlebih dahulu dengan Ketua Cabang dan Ahli Jawatankuasa Cabang parti di mana mereka ingin sertai semula.
"Ini membolehkan kemasukan mereka berjalan dengan lancar untuk kebaikan semua anggota parti sedia ada, dan juga kepada anggota yang menyertai semula parti," katanya dalam satu kenyataan.
Tegas Roland, KEADILAN Sarawak tetap berpegang teguh kepada prinsip kebebasan berpersatuan dan demokrasi dalam polisi kemasukan bekas ahli.
Bagaimanapun, katanya, pimpinan perlu memastikan matlamat perjuangan parti yang murni mesti didukung bersama-sama oleh anggota yang pernah meninggalkan parti itu.
"Sudah pasti parti ini mengalu-alukan sesiapa yang membawa nilai tambah untuk parti. Sebaliknya, pimpinan parti sedia ada sedaya upaya menjaga parti daripada anasir yang melemah dan meruntuhkan parti.
"Bersama KEADILAN Sarawak, kita boleh membina Sarawak yang gemilang pada tahun-tahun ke depan," katanya lagi.
Untuk rekod, terdapat ura ura bekas ahli KEADILAN yang meninggalkan parti itu dan tidak lagi dijaga kebajikan oleh bekas kepimpinan KEADILAN yang berpaling tadah kini mula mengintai untuk menyertai semula perjuangan reformasi sejak kebelakangan ini.
Comments