Ancaman buaya di Bakun: Beri lesen pemburuan, kawal populasi buaya
- Redzuan Shamsudin
- 10 hours ago
- 1 min read

Populasi buaya yang meningkat jumlahnya di hilir Empangan Bakun, Belaga, Sarawak meresahkan penduduk di sekitar kawasan tersebut.
Bagi Senator Abun Sui Anyit, terdapat konflik yang jelas di antara memelihara alam sekitar dan haiwan berhadapan manusia yang perlu diselamatkan daripada ancaman buaya dalam situasi tersebut.
Katanya, Kerajaan Sarawak perlu bertindak segera sebelum ada yang menjadi mangsa buaya liar berkenaan.
"Kerajaan Sarawak perlu aktif mengawal buaya di Belaga sebelum ada mangsa dibaham buaya di daerah itu.
"Saya dapat maklumat ada lawatan dihantar oleh Kerajaan Sarawak untuk belajar tentang pengawalan buaya di luar negara.
"Apakah hasil lawatan tersebut. Adakah suatu yang baharu dipelajari? Semoga boleh kongsikan ilmu tersebut dan laksanakan di Belaga khasnya, dan Sarawak amnya," kata Abun dalam satu kenyataan.
Tegas Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang itu, sekiranya kerajaan Sarawak tidak mempunyai solusi berhadapan ancaman buaya liar maka seharusnya kerajaan menggunakan kaedah konvensional dengan memudahkan pemburu buaya untuk mendapatkan lesen memburu bagi mengurangkan populasi.
"Saya menggesa agar undang-undang yang melindungi buaya dihapuskan atau diadakan moratorium.
"Untuk memudahkan pengawalan, lesen atau kebenaran perlu diberi secara mudah kepada pemburu buaya. Seterusnya lesen komersial untuk perniagaan daging dan kulit buaya juga perlu dipertingkatkan.
"Selain dapat mengawal buaya yang membahayakan nyawa penduduk Sarawak, perniagaan daging dan kulit buaya juga akan memberikan pendapatan tambahan kepada penduduk Sarawak yang berminat dalam bidang tersebut," katanya.
Beliau berharap Kerajaan Sarawak mempertimbangkan saranan pengawalan buaya secara lebih berkesan kerana nyawa manusia amat berharga untuk diselamatkan.
Comments