Maklumat yang disebar melalui media sosial, disunting sedemikian rupa dan dalam durasi yang terbatas tidak boleh dijadikan sandaran atau rujukan.
Hal itu ditegaskan oleh calon DUN Sungai Bakap, Dr Joohari Ariffin dalam kemunculan julung kalinya di pentas ceramah sebaik disahkan sebagai calon di pusat penamaan calon Dewan Serbaguna Jawi, pagi tadi.
Menurut beliau, ahli Pakatan Harapan dan BN serta petugas kempen perlu mencari lebih banyak sokongan untuk memastikan kemenangan pada 2 Julai nanti.
"Saya menyeru dan merayu, di samping kita keluar dengan satu dua undi, kita cari lagi, khususnya di kalangan anak anak muda," katanya.
Menurut beliau, anak muda perlu diberikan ilmu secukupnya agar menjadi bijaksana dan boleh membuat keputusan terbaik dalam kehidupan mereka.
"Pada saya anak muda perlu diberikan pendidikan sempurna agar segala tindakan dilakukan berdasarkan kepada ilmu. Bukan hanya berdasarkan kepada maklumat yang belum pasti.
"Tak mungkin maklumat yang kita cakap sejam setengah dapat diringkaskan dalam 30 saat (seperti di media sosial), tak mungkin jadi pandai.
"Maklumat 30 saat hanya sekadar mencetus kepada kita untuk terus mencari. Ini tradisi mencari ilmu, bila masuk dewan kuliah kemudian masuk perpustakaan, bukan sekadar menengok TikTok," katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Julai ini bagi tarikh mengundi awal dan 6 Julai sebagai hari mengundi.
Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.
Comments