Anak muda mempunyai falsafah zamannya, generasi milenium berfikiran kritikal yang tidak sama dengan generasi sebelum mereka.
Hal itu diungkapkan oleh kartunis terkenal tanah air, Zulkiflee Anwar Haque atau Zunar dalam sidang media di Festival Kartun Gen Z "Muhibah & Perpaduan" di Rumah Tangsi, Kuala Lumpur pagi tadi.
Menurut Zunar, kerajaan seharusnya memahami semangat zaman anak muda untuk mendapatkan dukungan mereka dalam membina negara serta menyokong dasar semasa.
"Generasi muda ini, mereka punya satu pemikiran yang kritikal. Mereka tidak mahu sangat diajar. Oleh itu medium kartun ini menjadi medium mereka untuk melepaskan perasaan, apa yang mereka nak sampaikan.
"Jadi saya mahu pihak kerajaan juga memahami kerana memang dia tidak boleh lagi satu arah pendidikan. Dia mesti dua arah (hala).
"Sebab itu festival ini dibuat, contohnya muhibah dan perpaduan. Mereka (gen Z) mungkin tidak memahami, tetapi kalau disuruh silakan kamu lukis apa yang dimaksudkan muhibah perpaduan, itu yang lebih berkesan.
"Saya lihat generasi muda sekarang suka melukis kartun kerana itulah perasaan mereka. Mereka harus diberi sedikit kebebasan melukis kartun," katanya.
Manakala dalam ucapan Zunar sebelum itu, beliau menyentuh mengenai tema lukisan kartun anak muda yang sewajarnya berlingkar di seputar perpaduan masyarakat, kerana katanya, situasi perpaduan antara kaum pada waktu ini tidak seutuh pada era lalu.
"Apa tema untuk diberikan kepada anak muda ini untuk melukis? Saya dapati di Malaysia ini, kita ada masalah yang belum selesai. Kita dapati perpaduan kaum berbanding zaman dulu, masa saya kecil dan sekarang agak berkurangan.
"Gen Z kita panggil generasi milenium, saya generasi kolonial. Jadi ia agak jauh. Tetapi saya terinspirasi dengan kejayaan dua ahli sukan kita, iaitu Pearly Tan dan M Thinaah dalam bidang badminton.
"Kalau kita lihat mereka ini sangat kukuh perpaduan kaum, seorang Cina, seorang India. Kerana mereka sangat kukuh (perpaduan), mereka berjaya di arena antarabangsa. Ini harus dijadikan tauladan kepada kita," katanya lagi.
Terdapat 180 kartunis muda bawah umur 30an bergabung dalam festival ini. Manakala lebih 280 karya dipamerkan untuk tatapan para pengunjung.
Menurut pengajur, pelbagai aktiviti diadakan dan pengunjung boleh mengambil bahagian, seperti peraduan melukis dan mewarna, bengkel melukis kartun, sesi kartunis Wanita, sesi kartunis autisme, demonstrasi melukis kartun, sesi kartunis hantu, sesi lelongan karya dan lain lain.
Festival Kartun Gen-Z ini dianjurkan pada 19 dan 20 Oktober 2024.
Comments