Oleh: Akmal Manaf
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan hari ini membuat laporan polis berhubung hinaan ke atas Perdana Menteri yang melakukan lawatan ke China pada waktu ini yang didakwa untuk berhibur.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan, Muhammad Azha Salahudin berkata, laporan polis itu agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap seorang individu yang dipercayai memfitnah Perdana Menteri.
"Umum mengetahui bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah beberapa kali mengadakan lawatan ke luar negara bertujuan menarik pelaburan, diplomasi dan meningkatkan hubungan dua hala dengan negara-negara yang akan memberikan impak positif kepada ekonomi negara dan rakyat.
"Malangnya tekad dan usaha Datuk Seri Anwar telah dijadikan sebagai modal politik murahan oleh pemimpin dan penyokong pembangkang dengan membuat dan mencipta fitnah kotor serta jijik dengan niat untuk memburukkan imej Anwar.
"Semalam, saya bersama Ketua AMK Wilayah Persekutuan iaitu Naqib Nasaruddin dan Pengarah Strategi AMK Wilayah Persekutuan (Arief Izuadin) telah hadir ke Balai Polis Setiawangsa untuk membuat laporan polis terhadap kenyataan fitnah itu," katanya menerusi kenyataan.
Comments