top of page

AMK Tebrau kesal Steven Choong khianati mandat pengundi


Ketua Angkatan Muda KEADILAN Tebrau, R Yuneswaran menzahirkan rasa kesal dan kecewa terhadap tindakan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong yang mengisytiharkan keluar parti dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Beliau berkata tindakan itu jelas satu pengkhianatan terhadap mandat dan amanah pengundi Tebrau yang memilih Steven sebagai pentadbir dan mewakili suara rakyat di kawasan Parlimen Tebrau.


Bukan itu sahaja, Yuneswaran menganggap tindakan Steven itu langsung tidak mengambil kira krisis yang dihadapi rakyat ketika ini.


"Di waktu kita sedang menghadapi krisis penularan wabak Covid-19 dan kemelut ekonomi yang parah, rakyat memerlukan pemimpin yang peka dan cakna terhadap masalah rakyat.


"Tambahan pula dengan krisis kepercayaan rakyat terhadap kerajaan PN yang lemah dan gagal mengurus tadbir negara dengan baik. Justeru, tindakan Steven Chong ini amat mengecewakan dan semata-mata untuk kepentingan diri sendiri," katanya.


Pada masa sama, Yuneswaran meminta Steven sedar terhadap perbuatannya itu dan berharap rakyat dapat bersabar di atas kemelut politik yang berlaku ketika ini.


"Steven Choong seharusnya sedar bahawa kemenangan beliau dengan jumlah undi 64,535 dalam PRU14 yang lalu, adalah manifestasi kebangkitan rakyat di Parlimen Tebrau yang mahukan perubahan dan memilih Pakatan Harapan (PH) sebagai wadah perubahan.


"Bukan memilih beliau atas kapasiti peribadi. Tindakan politik beliau yang memilih dan menyokong kerajaan pencuri mandat rakyat PN adalah benar-benar mendukacitakan dan ia ibarat memijak-mijak harapan rakyat yang mahukan perubahan.


"Saya menyeru supaya rakyat bersabar dan tabah menghadapi kemelut politik ini dan selaku ahli KEADILAN, kami akan sedaya upaya memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dan akan terus membawa semangat rakyat yang mahukan perubahan," katanya.


Yuneswaran juga mendedahkan mengapa tindakan Steven akan memberikan kesan besar kepada pengundi Tebrau.


"Saya merupakan penduduk tetap di Tebrau, pengundi Tebrau, anggota parti KEADILAN Tebrau dan mengenali ramai pemimpin yang menjawat jawatan sejak penubuhan cabang.


"Namun, Steven adalah orang pertama yang menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) atas tiket KEADILAN di Tebrau. Bukan mudah untuk memperoleh kepercayaan dalam membina sesebuah organisasi semasa kita masih pembangkang.


"Ramai yang mengusahakan untuk membina cabang Tebrau dari awal lagi seperti saudara Selvakumar, saudara Haji Halim dan beberapa pemimpin KEADILAN yang lain.


"Puteri Wangsa dikenali oleh orang ramai apabila Perhimpunan Aman diadakan selepas Pakatan Rakyat (PR) kalah dalam PRU13 pada tahun 2013.


"Lebih daripada 30,000 rakyat berhimpun di Puteri Wangsa dalam Ceramah #Black505 untuk meluahkan perasaan marah dan perasaan tidak berpuas hati terhadap keputusan pilihanraya pada 15 Mei 2013. Tebrau mempunyai sejarah dalam undang-undang Malaysia dan politik negara dalam menyuarakan hak rakyat," katanya.


Disebabkan sejarah perjuangan itu, Yuneswaran berpendapat jika Steven bertanding lagi di Parlimen Tebrau, tiada jaminan bahawa pengundi akan memilih beliau dalam pilihan raya umum akan datang.


"Steven tewas dalam PRU13 dengan calon MCA dengan majoriti 1,767 undi dan menang dalam PRU14 pada tahun 2018 dengan majoriti 37,225 undi. Ini bermakna, pengundi telah memberi keyakinan yang tinggi dengan kepimpinan PH dan KEADILAN.


"Walaupun mempunyai alasan yang kukuh atas tindakan beliau, Adakah rakyat khususnya pengundi Tebrau akan menerima alasannya menyertai PN dengan hati yang terbuka?" soalnya.

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page