
Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyatakan sokongan penuh kepada cadangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
Ketuanya Adam Adli Abd Halim berkata, perkara itu merupakan sebahagian daripada agenda reformasi yang juga sebahagian daripada janji Pakatan Harapan sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
"Ini bukan perkara baharu tetapi komitmen yang telah lama dipegang oleh Pakatan Harapan.
"Had tempoh itu akan menghalang penyalahgunaan kuasa, mengukuhkan integriti pentadbiran serta memastikan kepimpinan negara sentiasa segar dengan idea baharu," katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook pada ucapan di Kongres Kebangsaan ke-18 parti itu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam semalam menyatakan harapan agar kerajaan dapat meminda Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan itu dalam tempoh 24 bulan akan datang.
Sambil menyatakan sokongan untuk Anwar Ibrahim terus menjawat jawatan itu bagi penggal depan, beliau berkata, langkah mengehadkan tempoh jawatan itu akan jadi legasi kepada Anwar dalam sistem pentadbiran negara.
"Sekiranya reformasi ini berjaya dilaksanakan, Kerajaan MADANI akan terpahat dalam sejarah sebagai pentadbiran yang berani membawa perubahan besar kepada sistem pentadbiran negara.
"Inilah reformasi sebenar, inilah politik masa depan," jelas Adam lagi.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak termasuk pembangkang agar bersama-sama merealisasikan usaha tersebut demi masa depan politik negara yang lebih demokratik dan telus.
תגובות