Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan tidak pernah menyembunyikan titah adendum berhubung tahanan di rumah bekas Perdana Menteri Najib Razak sebagaimana didakwa pembangkang, sebaliknya menghormati proses mahkamah untuk memutuskan sama ada ianya boleh dikuat kuasakan.
Sehubungan itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor mendesak pihak berwajib supaya mengambil tindakan tegas terhadap individu atau pihak yang melemparkan tuduhan tidak berasasas kepada Perdana Menteri (PM) dan Kerajaan MADANI dalam isu berkenaan.
AMK Selangor menyifatkan, pembangkang seharusnya memainkan peranan sebagai semak dan imbang dan bukannya menggunakan platform media sosial sebagai medan menyebarkan fitnah dan kebencian terhadap PM dan kerajaan.
"AMK Selangor memandang serius isu ini. Kami ingin menegaskan bahawa kebebasan bersuara tidak bermakna seseorang individu itu boleh menyebarkan maklumat palsu yang berniat jahat.
"Antara fitnah yang dilontarkan termasuk dakwaan menyembunyikan dan menafikan kewujudan titah Adendum berhubung isu penahanan rumah Datuk Seri Najib Razak.
"Tuduhan-tuduhan itu merupakan satu tuduhan tidak berasas, berniat jahat serta cubaan mencetuskan naratif buruk terhadap PM dan kerajaan," kata kenyataan itu.
Oleh itu, AMK Selangor yang diketuai Izuan Kasim telah melakukan laporan polis terhadap beberapa pimpinan pembangkang yang telah melontarkan beberapa fitnah terhadap PM dan juga kerajaan malam tadi.
Comments