Oleh: Akmal Manaf
Pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11 adalah bukti keyakinan rakyat terhadap keupayaan bekas Ketua Menteri Sabah itu menggalas tugas besar sebagai Tuan Yang Terutama (TYT).
Susulan pelantikan yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2025, Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Muhd Firdaus Charlie berharap, keyakinan diberikan rakyat itu akan dapat diterjemahkan kepada tiga perkara kelak.
Perkara pertama katanya, melakukan pemerkasaan Institusi Negeri dan Tun Musa seharusnya menjadi pemacu dalam memastikan semua pihak bekerja ke arah membangunkan Sabah dengan mengutamakan keperluan rakyat tanpa mengira latar belakang.
"Kedua, tentang keseimbangan dan keadilan sosial. Rakyat Sabah sememangnya menantikan pemimpin yang mampu mendengar suara mereka, khususnya dalam isu seperti kemiskinan, peluang pekerjaan, dan akses kepada pendidikan serta kesihatan yang berkualiti.
"Yang ketiga adalah mengenai penerapan nilai perpaduan mengatasi perbezaan politik. Sambutan meriah pelbagai parti politik menunjukkan rakyat Sabah mahu perpaduan mengatasi perbezaan politik," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Muhd Firdaus, melihat kepada sambutan luar biasa rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) yang menyambut Tun Musa, maka tidak sukar menjangkakan akan berlaku penyatuan rakyat di bawah TYT baharu ini.
"Justeru, AMK Sabah berharap momentum seperti itu dapat diteruskan demi kestabilan negeri," katanya.
Muhd Firdaus yang juga Ketua AMK Cabang Silam juga berkata, pihaknya merakamkan ucapan setinggi tahniah kepada Musa atas pelantikan itu dan sekalung tahniah juga kepada rakyat Sabah atas solidariti yang ditunjukkan.
"Kami berjanji untuk terus menjadi suara anak muda yang akan mengawasi, menyokong, dan menegur demi kepentingan negeri dan rakyat," katanya lagi.
Untuk rekod, Musa pernah berkhidmat sebagai Ketua Menteri Sabah paling lama dari 2003 hingga 2018 di bawah pentadbiran BN.
Musa akan menduduki kerusi TYT selama empat tahun dan akan berakhir 31 Dis 2028.
Beliau juga dikurniakan darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara oleh Yang di-Pertuan Agong yang membawa gelaran Tun.
Comentários