
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia bersama Angkatan Muda Harapan akan menggerakkan jentera kempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning yang akan diadakan pada bulan April ini.
Menurut Timbalan Ketua AMK Malaysia, Muhammad Kamil Abdul Munim, mesyuarat mengenai PRK tersebut telah diadakan dan AMK akan terlibat secara langsung dalam pelancaran jentera, seterusnya membantu calon BN memenangni DUN berkenaan.
"Pada 8 April kita akan buat satu majlis pelancaran (jentera bersama) Angkatan Muda Harapan peringkat DUN.
"Kita gerakkan (AMK) dari Perak dan tidak ketinggalan dari Selangor bagi memastikan gerakkan jentera," katanya dalam sidang media Majlis Rewang Mantai Anak Muda bersama Datuk Seri Amirudin Shari di Dewan Beringin, Batu Caves, Selangor pagi tadi.
Mengenai pemilihan KEADILAN 2025 pula, calon Ketua AMK Malaysia itu terbuka untuk sama ada wujud atau tidak pertandingan posisi Ketua AMK.
Ditanya mengenai Menteri Besar Selangor yang akan mengekalkan posisi Naib Presiden, Kamil yang ramat dengan ADUN Sungai Tua itu mengakui kecemerlangan Amirudin serta rekod baik beliau dalam mentadbir yang merupakan aset terbaik menghadapi pemilihan.
"Seperti saya sebutkan tadi, kita tak ada masalah untuk terus bersama menyokong kepimpinan dan kecemerlangan Datuk Seri Amirudin Shari," katanya.
Berkenaan aktiviti mantai AMK itu pula, Kamil memuji penganjurannya oleh AMK Selangor yang boleh merapatkan anak muda dengan masyarakat sekitar.
"Anggran 200 orang sekitar kawasan Gombak hadir bersama," katanya ketika ditanya jumlah kehadiran AMK.
Program Mantai AMK turut menyumbang daging lembu kepada penduduk sekitar yang membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri dan memberi bantuan wang tunai kepada asnaf di samping bersama sama membuat beberapa juadah tradisi masyarakat Melayu dengan bantuan penduduk setempat.
Comments