Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pandan bersama A Plus Marketing dan Alliance Bank melancarkan program Thrive Fest: Igniting Passion and Power in Entrepreneurs baru baru ini.
Menurut kenyataan AMK Pandan, program tersebut telah menghadirkan beberapa penceramah dari syarikat perusahaan kecil dan sederhana yang tersenarai untuk menyampaikan maklumat serta ilmu kepada anak muda mengenai cara cara mengembangkan perniagaan secara organik dan efisyen.
Kata kenyataan itu, pengarah program saudari Agnes dari A Plus Marketing menegaskan seminar tersebut memberikan peluang kepada peserta untuk mengenali dunia keusahawanan secara mendalam, mengenali peluang perniagaan dan kaedah membina rangkaian dengan pelbagai pemain industri dalam negara mahupun peringkat global.
Manakala wakil AMK, saudara Ifwat pula berkata, program tersebut amat sesuai untuk meningkatkan daya saing dan ekonomi anak muda.
"Kesesuaian program ini menepati kriteria di dalam satu inisiatif Kementerian Ekonomi iaitu Inisiatif Pendapatan Rakyat bagi mereka yang ingin meningkatkan ekonomi keluarga terutama anak muda.
"Dengan bantuan daripada inisiatif ini kita dapat lihat kesesuaian dengan program ini. Objektif Inisiatif ini adalah bagi mereka yang miskin tegar dan golongan B40 keluar daripada keadaan mereka sekarang ini.
"Ilmu dari penceramah yang dijemput dapat diaplikasikan dalam inisiatif ini dan memantapkan lagi skil usahawan. Juga terdapat tiga model di bawah inisiatif ini yang mengikut kesesuaian kepada landskap kawasan usahawan," katanya.
Sehubungan itu, Ifwat berharap lebih banyak program seperti itu dapat dilaksanakan untuk memantapkan lagi perkembangan anak muda dalam negara, terutama dalam sektor perniagaan.
Comments