Keperluan skil berbahasa Mandarin yang baik berikutan peningkatan China sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar dunia di samping banyaknya pelaburan gergasi ekonomi itu di Malaysia, memanggil Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pandan untuk menyediakan kursus Bahasa Mandarin secara percuma kepada anak muda.
Menurut Timbalan Ketua AMK Pandan, Ruben Raj, kursus yang dianjurkan dengan kerjasama PEBS MPAJ Zon 18 dan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pandan itu dinamakan "Pandan Youth Upskilling" dan diadakan bagi membekalkan lebih banyak ilmu kepada anak muda untuk bersaing dalam bidang pekerjaan.
Beliau yang menggerakkan program itu berkata, kursus tersebut akan berlangsung selama lapan minggu secara percuma.
Ujarnya, kelas akan dijalankan secara fisikal dan atas talian bagi memudahkan para peserta. Dijangkakan kursus bahasa Mandarin akan bermula pada 12 Oktober 2024.
Selain itu, kata Ruben yang juga Naib Ketua AMK Selangor, satu lagi bengkel dirancang di bawah payung besar "Pandan Young Upskilling" iaitu bengkel persiapan resume dan temuduga yang dijangkakan akan berlangsung pada penghujung bulan November.
"Bengkel ini diadakan hujung tahun ini untuk persediaan anak muda yang ingin mencari pekerjaan pada awal tahun depan.
"Sebagai seorang anak muda dan seorang ahli parti, pentingnya kita memahami keperluan anak muda setempat supaya mampu mendekati anak muda.
"Kami percaya penguasaan bahasa Mandarin dan penguasaan ilmu temuduga akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda," katanya kagi.
Dalam pada itu, Ruben turut menekankan pentingnya menghebahkan inisiatif Kerajaan Madani di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mahupun inisiatif kebajikan Kerajaan Negeri supaya lebih ramai rakyat tahu tentang program-program yang ditawarkan.
"Ini adalah langkah penting untuk memastikan kebajikan penduduk terjaga dan belia kita bersedia untuk menghadapi cabaran masa hadapan," tambahnya.
Inisiatif AMK Pandan ini diharapkan dapat menarik minat lebih ramai belia di kawasan berkenaan mengambil bahagian dan memanfaatkan peluang yang ada demi masa hadapan yang lebih cerah.
Comments