Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor menyambut baik keputusan Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Ogos lalu yang menetapkan calon BN akan mewakili Kerajaan Perpaduan di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota.
Menurut Naib Ketua AMK Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad, sayap pemuda itu akan menyokong dan bakal membantu kempen calon BN dalam PRK yang akan bermula selepas tarikh penamaan calon 14 September ini.
"Sebagai sayap parti, kita ambil maklum dan patuh sepenuhnya dengan keputusan yang telah dibuat oleh barisan pimpinan Kerajaan Perpaduan.
"Kita akan bekerjasama erat dengan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan dan dengan sedaya upaya menggembleng seluruh anggota parti di Johor untuk turun memberi sokongan dan dokongan kepada calon yang bakal ditampilkan oleh BN," katanya dalam kenyataan.
Justeru, beliau dan AMK Johor berharap kemenangan akan berpihak kepada Kerajaan Perpaduan pada 28 September ini sebagaimana di PRK DUN Nenggiri pada awal Ogos lalu.
Comments