Oleh: Akmal Manaf
Cakna dengan nasib yang menimpa mangsa banjir terutamanya di Kelantan, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia dan KHIDMAT akan bergerak ke negeri berkenaan malam ini bagi memastikan bantuan tiba tepat pada masanya.
Timbalan Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, pihaknya sentiasa peka terhadap keperluan segera di lapangan, termasuk jentera untuk menghantar bekalan ke kampung yang terputus hubungan serta membantu pemindahan penduduk ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
"Melihat kepada situasi banjir yang melanda beberapa kawasan di Malaysia, khususnya di Kelantan yang paling teruk terjejas, kami mengambil inisiatif segera untuk membantu mangsa-mangsa yang terkesan.
"Semalam, AMK telah menyerahkan bantuan kepada pasukan KHIDMAT untuk dihantar terus ke kawasan terjejas merangkumi empat buah bot ‘Rapid Water Rescue’, bekalan makanan, keperluan perubatan, barangan harian, serta kekuatan jentera untuk operasi menyelamat dan penghantaran.
"Alhamdulillah, walaupun berdepan kekangan seperti kesediaan stok dan cabaran logistik, pembelian bot-bot baharu ini dapat dilaksanakan segera," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Empati dengan nasib menimpa mangsa banjir, Muhammad Kamil berharap usaha dilakukan pihaknya akan meringankan beban mereka yang terkesan.
Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat jam 8 pagi tadi, seramai 66,003 orang daripada 20,168 keluarga masih berada di 227 PPS, manakala jumlah mangsa banjir di tujuh negeri semakin menurun.
Kelantan yang paling terjejas sebelum ini, mencatatkan penurunan ketara jumlah mangsa kepada 43,745 mangsa susulan cuaca semakin baik sejak kelmarin.
Sehingga kini, hanya enam daerah masih dilanda banjir, manakala banjir di empat daerah lagi sudah pulih dan PPS sudah ditutup sejak kelmarin sehingga semalam.
Daerah yang masih dilanda banjir adalah Pasir Mas merekodkan 22,441 mangsa diikuti Tumpat 20,556 mangsa.
Selain itu, Kota Bharu membabitkan 403 mangsa, Bachok 243 mangsa, Tanah Merah 55 mangsa dan Pasir Puteh, 47 mangsa.
Commentaires