Angkatan Muda Keadilan (AMK) berperanan untuk memahami denyut nadi sebenar rakyat terutama golongan muda yang mana merupakan rakan sebaya mereka.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, banyak peristiwa dalam perjuangan tokoh KEADILAN boleh dijadikan sandaran menguatkan tekad perjuangan AMK.
Terutama perjuangan panjang Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa menjiwai keluh kesah rakyat.
Malah, katanya, pada tahap Anwar dianggap sukar untuk menjadi pemimpin utama negara selepas pengkhianatan Langkah Sheraton pada 2020, kerana cekal berjuang untuk rakyat, akhirnya selepas pilihan raya umum 2022 Anwar diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 10.
"Politik ini satu usaha yang berjalan secara konsisten dan ia adalah satu marathon atau bergerak secara jarak jauh (jangka panjang).
"Kadang kadang kita lihat orang cepat naik tetapi dia belum tentu kekal. Kadang kita lihat orang yang di bawah, tak ada peluang (untuk mendaki), mungkin dah habis masa depan politik tetapi tiba tiba dia boleh jadi PM, Menteri dan sebagainya.
"Resepi untuk kekal dalam politik ialah kita memahami denyut nadi atau sentimen yang ada di bawah.
"Kalau kita mengurung diri, bersedih, kita anggap dunia tak adil kepada kita (setelah gagal), kita tak akan faham sentimen di bawah. Kalau kita di atas setelah menang, kita berkumpul (sesama sendiri) dan tidak mahu melihat di bawah realiti masyarakat, kita juga tidak akan dapat memahami apakah kehendak masyarakat.
"AMK (dalam hal ini) mengambil peranan penting untuk memahami denyut ini kerana AMK mempunyai masa yang panjang dan kurang protokol (bertemu) dengan komuniti.
"Dengan keadaan tersebut kita akan faham apakah denyut nadi dan sentimen sebenar dalam masyarakat," kata Amirudin dalam ucapan perasmian Konvensyen AMK 2024 (Zon Tengah) di Sekamat Grand Palace Event Hall, Kajang Selangor, petang tadi.
Oleh itu, katanya, konvensyen seperti ini penting untuk gerakan politik menyusun kembali strategi dan corak berfikir bagi merancang kemenangan pada masa depan.
Namun, katanya, di kawasan yang beroleh kemenangan gerak kerja AMK haruslah lebih bijaksana. Bakal pengundi, kata Amirudin, mahu melihat track record kerajaan memerintah dan apakah janji kemajuan yang akan dilakukan seterusnya.
"(Kita) bukan sahaja buat program (di kawasan menang) tetapi juga menyatakan apa yang kita telah lakukan dan memberi kesan kepada anak muda di bawah.
"Memahami bukan hanya mendengar tetapi kita tawarkan apa yang mampu dan boleh kita lakukan untuk masa depan
"Kalau kita turun ke bawah dengar masalah anak muda maka terangkan isu ekonomi, isu pekerjaan. AMK perlu beritahu kerajaan sedang meneroka (sektor ekonomi kecerdasan buatan) AI, apa yang boleh diberi kepada anak muda, terutama kepada adik adik kita di sekolah menengah dan sebagainya," katanya lagi.
Justeru, Amirudin mengharapkan AMK berusaha keras mengekalkan Zon Tengah terdiri daripada Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Wilayah Persekutuan sebagai kubu kuat KEADILAN.
Beliau juga menggesa AMK untuk turun menemui adik adik di bangku sekolah menengah bagi menjelaskan perjuangan KEADILAN kerana beberapa tahun daripada sekarang mereka akan menjadi pengundi pada genap usia 18 tahun.
Comments