Amirudin tonjol kepimpinan cemerlang di peringkat negeri pusat
- Suara Keadilan
- Mar 28
- 1 min read

Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Selangor menyatakan sokongan penuh agar Datuk Seri Amirudin Shari kekal selaku Naib Presiden KEADILAN bagi Pemilihan 2025.
Setiausahanya, Dr Mohd Khairudin Othman menerusi satu kenyataan berkata, sokongan itu berdasarkan rekod kepimpinan Amirudin sebagai Menteri Besar Selangor dan peranannya dalam membantu pentadbiran parti.
"Amirudin bukan sahaja menunjukkan kepimpinan cemerlang di Selangor tetapi juga memainkan peranan penting di peringkat pusat, termasuk dalam menjayakan penubuhan Kerajaan Perpaduan Negeri Pahang ketika menjadi Pengerusi MPN Pahang sebelum ini.
"Dalam tempoh penubuhan Kerajaan Perpaduan Negeri Pahang sehingga menyaksikan fraksi Perpaduan Negeri Pahang melibatkan komponen Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH) dapat bergerak seia sekata sehingga kini," katanya.
Awal Mac lalu, Amirudin mengesahkan akan mempertahankan jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti itu yang dijadual berlangsung 24 Mei ini.
Beliau berkata keputusan berkenaan dibuat dengan mengambil kira faktor kestabilan parti yang merupakan antara komponen menerajui Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Sementara itu Dr Mohd Khairudin memaklumkan mesyuarat MPN yang diadakan semalam memutuskan untuk menghantar jentera bagi membantu calon Perpaduan di DUN N.48 Ayer Kuning bermula 7 April ini.
"MPN Selangor akan terus memberikan penerangan kepada rakyat mengenai kejayaan kerajaan negeri Selangor, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sistem pentadbiran serta inisiatif Gudang Makanan Selangor yang mampu menyimpan stok makanan sehingga tiga bulan sebagai persediaan menghadapi krisis masa hadapan," tambahnya.
Comments