Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun melahirkan rasa bangga dengan pencapaian ekonomi negeri itu yang terus berkembang.
Menerusi ucapan di Majlis Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2025 di Seremban pada Selasa beliau berkata, kerajaan negeri berjaya mencapai lebihan pendapatan selama tiga tahun berturut-turut.
Malah pada tahun lalu, kerajaan negeri telah mengutip hasil berjumlah RM636 juta melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu pada RM520 juta
"Kita semua dapat merasai perubahan pentadbiran yang dilakukan sehingga kerajaan negeri berjaya mencapai lebihan pendapatan selama tiga tahun berturut-turut," katanya dipetik.
Aminuddin menyifatkan pencapaian itu mencerminkan dedikasi, integriti serta usaha gigih seluruh penjawat awam negeri.
Sehubungan itu beliau menyeru semua pihak agar memberi fokus kepada agenda besar kerajaan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang untuk mencapai sasaran kutipan hasil pendapatan negeri mencecah RM1 bilion.
Melalui perancangan dilaksanakan kerajaan negeri, dengan kerjasama utuh daripada semua pihak, ia tegasnya akan dapat memacu pembaharuan di negeri ini.
Comments