
Pihak Berkuasa Tempatan perlu mengambil langkah proaktif untuk memudahkan peniaga kecil atau penjaja untuk menjalankan perniagaan.
Menurut Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin, insiden yang menimpa Mohd Zaimuddin Azlan yang tercedera dalam tolak menolak dengan penguat kuasa DBKL dalam tindakan mengusir penjaja tidak berlesen di bazar Jalan Tunku Abdul Rahman kelmarin perlu dijadikan ikhtibar.
"Saya percaya setiap individu, khususnya para peniaga kecil berhak untuk mencari rezeki dalam keadaan yang selamat dan teratur.
"Oleh itu saya menyeru agar pihak berkuasa tempatan dapat mengambil langkah proaktif dalam memudahkan proses permohonan lesen peniagaan bagi golongan peniaga kecil seperti saudara Zaimuddin tanpa menjejaskan ketenteraman awam dan pematuhan peraturan sedia ada," katanya dalam kenyataan selepas melawat Zaimuddin atau kini dikenali sebagai 'abang belon' di hospital tengah hari tadi.
Dalam kunjungan itu, Azman menyampaikan salam takziah dan simpati daripada Perdana Menteri serta Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail kepada Zaimuddin sekeluarga.
Azman yang juga Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan turut menasihati agar semua pihak menghormati undang undang dan membiarkan pihak polis menjalankan siasatan dengan telus dan adil berhubung insiden kelmarin.
"Saya percaya bahawa siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berwajib akan dijalankan dengan penuh ketelusan dan keadilan.
"KEADILAN Wilayah Persekutuan akan terus memantau perkembangan kes ini dan memastikan keadilan ditegakkan demi kepentingan semua pihak," katanya lagi.
Comments