Ambil contoh AS - Kanada tanggani isu Jerebu - Nik Nazmi
- Suara Keadilan
- Oct 12, 2023
- 1 min read

Oleh: Abdullah Zaid
Kerajaan akan mengguna pakai kaedah diplomasi Amerika Syarikat (AS) - Kanada sebagai langkah mengatasi masalah jerebu rentas sempadan di negara ini.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad (PH - Setiawangsa) berkata pihaknya melihat keperluan tersebut bagi meningkatkan perjanjian yang dicapai sebelum ini selaras dengan situasi semasa.
"Sebagaimana kita mengambil pendekatan diplomasi di bawah Perjanjian ASEAN Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan yang mula sejak 2002 dan Malaysia antara pertama menanggani perjanjian tersebut.
"Namun, di bawah perjanjian ASEAN tidak ada tindakan yang puritif boleh diambil ke atas syarikat yang menyebabkan jerebu rentas sempadan sebab itu kita kena lihat Perjanjian Kualiti Udara Amerika Syarikat - Kanada 1991 yang lebih komprehensif," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah Nik Nazmi, pihaknya juga akan berbincang dengan Kementerian Luar Negeri untuk melihat langkah seterusnya yang terbaik dalam menangani masalah itu.
"Bagi memastikan keadaan jerebu tidak berpanjangan kerajaan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Luar telah mengemukakan nota diplomatik bagi memaklumkan situasi jerebu di Malaysia dan kesediaan negara bekerjasama memadam segera di kawasan terjejas," ujarnya.
Dalam pada itu, kementeriannya menegaskan Malaysia tidak akan mempertahankan mana-mana syarikat perladangan yang terlibat dalam pembakaran di Indonesia.
Sebagai rekod, Indonesia merupakan satu-satunya negara anggota ASEAN yang tidak menandatangani Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan 2002 (ATHP 2002) walaupun negara jiran itu menyumbang masalah jerebu terbesar di rantau ASEAN.
Comentários