
Angkatan Muda Harapan (AMH) hari ini mencabar Perikatan Nasional (PN) yang terus memainkan isu akan mengambil alih tampuk pemerintahan, termasuk dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning untuk menyatakan siapakah calon bagi jawatan utama peringkat Kerajaan Negeri dan Persekutuan sekiranya mereka serius untuk memerintah.
Ketua AMH, Woo Kah Leong berkata demikian berhadapan taktik kononnya kemenangan pembangkang di PRK Ayer Kuning mampu membawa perubahan di peringkat negeri dan nasional.
"AMH mencabar PN untuk menjelaskan siapakah calon Perdana Menteri dan Menteri Besar Perak sekiranya mereka berhasrat untuk mengambil alih Kerajaan Persekutuan dan negeri.
"Tidak seperti PN yang masih kabur dalam soal kepimpinan, Kerajaan Perpaduan Perak telah menampilkan barisan kepimpinan yang jelas dan bertanggungjawab di bawah Datuk Seri Saarani Mohamad yang telah memimpin Kerajaan Negeri tanpa sebarang skandal rasuah.
"Beliau juga telah membuktikan komitmen terhadap anak muda dengan melantik pemimpin muda ke dalam pentadbiran, termasuk saya sendiri sebagai Exco termuda dalam sejarah negeri ini.
"Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Perpaduan bukan sahaja stabil tetapi juga memberi peluang kepada generasi muda berperanan dalam pembangunan negeri
"AMH menegaskan bahawa cubaan PN untuk merampas kerajaan melalui PRK ini bukan sahaja mengancam kestabilan politik tetapi juga menggugat kesejahteraan rakyat," kataya dalam kenyataan.
Menurut Kah Leong, kestabilan politik amat penting dalam memastikan pentadbiran yang lancar, pertumbuhan ekonomi yang mampan, dan kesejahteraan rakyat terjamin.
Oleh itu, beliau dan AMH menyeru pengundi untuk menolak sebarang usaha yang boleh membawa ketidaktentuan politik dan memastikan kemenangan calon Perpaduan bagi mengekalkan kestabilan negeri Perak.
Dalam kenyataan itu juga Kah Leong menjelaskan bahawa sayap pemuda Pakatan Harapan menghormati konsensus untuk menyokong sepenuhnya calon Perpaduan yang akan diketengahkan oleh Barisan Nasional (BN) dan UMNO.
"Tidak kira siapa calon yang akan diumumkan, AMH akan memberikan sokongan penuh dan menggerakkan seluruh jentera bagi memastikan kemenangan calon perpaduan.
"Seperti mana BN telah membantu PH dalam PRK sebelum ini, termasuk di Pulai, Kuala Kubu Bharu, dan Mahkota, kini tiba masanya AMH membalas kepercayaan tersebut dengan memastikan kemenangan calon perpaduan di Ayer Kuning, sekali gus memperkukuh kestabilan politik negara," katanya.
Dalam pada itu, ADUN Pasir Bedamar itu berkata, sebagai langkah strategik dalam memastikan kemenangan, AMH telah melantik Khairol Najib, Ketua Pemuda AMANAH Perak sebagai Pengarah Pilihan Raya AMH bagi PRK Ayer Kuning.
"Beliau akan dibantu oleh Ketua Pemuda KEADILAN Perak, Saudara Zaim, serta Ketua DAPSY Perak, Saudara Wong Kar Keat.
"Sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menggerakkan kempen secara menyeluruh di lapangan dan di media sosial, memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat maklumat yang jelas mengenai calon perpaduan dan hala tuju kerajaan perpaduan," katanya lagi.
Sehubungan itu, Kah Leong mewakili AMH menyeru pengundi, terutamanya anak muda dan perantau di DUN Ayer Kuning, untuk pulang mengundi.
Katanya, kemenangan calon Perpaduan adalah kunci kepada kesinambungan pembangunan dan kestabilan politik di Perak bagi memastikan rakyat terus menerima manfaat daripada kepimpinan yang stabil dan progresif.
Commentaires