Amazon Web Services (AWS), sebuah syarikat Amazon.com Inc mengumumkan pelaburan besar sebanyak AS$6.2 bilion (RM29.2 bilion) di Malaysia sehingga 2038 sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjangnya.
Pelaburan itu disusuli pelancaran Wilayah WS Asia Pasifik (Malaysia), menyediakan pembangun, syarikat permulaan, usahawan dan perusahaan di Malaysia sebagai pilihan yang lebih besar untuk menjalankan aplikasi dan memberi perkhidmatan kepada pengguna akhir daripada pusat data AWS tempatan.
Wilayah AWS baharu dijangka menyumbang kira-kira AS$12.1 bilion kepada keluaran dalam negara kasar Malaysia dan menyokong lebih 3,500 pekerjaan setara sepenuh masa setiap tahun hingga 2038.
"Pelancaran wilayah infrastruktur AWS di Malaysia menyediakan akses kepada teknologi baharu dan baru muncul untuk entiti dan perniagaan Malaysia dalam semua saiz, meningkatkan keupayaan negara kita untuk inovasi digital," kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam kenyataan bersama dikeluarkan semalam.
Naib Presiden Perkhidmatan Infrastruktur Amazon Web Services Prasad Kalyanaraman berkata Wilayah AWS baharu di Malaysia membolehkan organisasi di seluruh Asia Pasifik membuka potensi penuh awan (clouds) yang paling luas dan boleh dipercayai di dunia, membantu pelanggan menggunakan aplikasi termaju dengan set luas teknologi AWS seperti kecerdasan buatan (AI) dan ML (pembelajaran mesin).
"Pencapaian ini merupakan langkah penting ke arah memenuhi visi Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030 untuk membina ekonomi berkemahiran tinggi, inovatif, makmur, inklusif dan mampan," tambahnya.
Dengan pelancaran Wilayah AWS Asia Pasifik (Malaysia), AWS kini menawarkan 108 Zon Ketersediaan merentas 34 wilayah geografi, dengan rancangan untuk 18 lagi Zon Ketersediaan dan enam Wilayah AWS tambahan di Mexico, New Zealand, Arab Saudi, Taiwan, Thailand dan AWS European Sovereign Cloud.
Setiap Wilayah AWS terdiri daripada berbilang Zon Ketersediaan, direka untuk menyokong kesinambungan perniagaan sambil menyediakan kependaman rendah dan ketersediaan tinggi.
Pelaburan AWS itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mac lalu yang ketika itu menyebut syarikat itu bakal membuka infrastruktur serantau baharu di Malaysia, dengan pelaburan bernilai RM25.5 bilion sehingga 2037.
Katanya, dengan pelaburan baharu AWS itu, pihaknya berharap dapat melihat peningkatan yang lebih besar dalam transformasi digital dan kepercayaan digital dalam masyarakat Malaysia.
Sumbangan ekonomi digital kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara berjumlah 23.2 peratus pada 2021 dengan Malaysia meletakkan sasaran untuk meningkatkan sumbangan ekonomi digital kepada 25.5 peratus daripada pertumbuhan negara menjelang 2025 yang mana ia dilihat mampu dicapai.
Comments