AMANAH Perak lancar Bilik Operasi PRK Ayer Kuning
- Suara Keadilan
- 5 days ago
- 1 min read

AMANAH Perak telah pun menggerakkan jenteranya secara serius dan tersusun meskipun hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Ayer Kuning pada 12 April ini. Gerak kerja awal itu membuktikan iltizam AMANAH negeri dalam memperkukuh kekuatan Kerajaan Perpaduan di peringkat akar umbi.
Sehubungan itu, semalam AMANAH Perak telah merasmikan Bilik Operasi PRK AMANAH N.48 Ayer Kuning, bertempat di Tanjung Keramat.
Program tersebut menghimpunkan jentera parti dari seluruh kawasan dalam negeri Perak sebagai platform menyusun strategi, menyampaikan amanat, dan memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi PRK.
Majlis itu dirasmikan oleh Naib Presiden AMANAH merangkap Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, yang memberi semangat dan arahan kerja kepada seluruh jentera AMANAH agar fokus, tersusun dan berdisiplin pada sepanjang tempoh kempen.
Manakala Pengarah Biro Pilihan Raya AMANAH Nasional, Mohd Sany Hamzan menyifatkan PRK Ayer Kuning sebagai antara yang terbaik pernah dikendalikan sejak beliau memimpin jentera PRK AMANAH.
"Sepanjang saya mengetuai lima PRK sebelum ini, inilah PRK terbaik dari segi kesediaan dan kerjasama. AMANAH Perak telah memulakan kerja dengan disiplin dan fokus tinggi, meskipun belum masuk hari penamaan calon," katanya.
Program itu turut menyaksikan penubuhan rasmi Cawangan AMANAH Tanjung Keramat, serta penyerahan borang keahlian baharu kepada kepimpinan parti sebagai tanda sokongan akar umbi.
Turut hadir Pengerusi AMANAH Perak, Datuk Asmuni Awi serta seluruh ahli jawatankuasa negeri menandakan keseriusan dan komitmen penuh kepimpinan dalam menjayakan PRK ini.
Comentarios