
Oleh: Akmal Manaf
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr Gunaraj George hari ini turun padang buat kali kedua untuk melawat kawasan DUNnya yang terjejas banjir kilat akibat hujan lebat.
Tindakan pantas wakil rakyat itu datang ke lapangan bagi meninjau keadaan semasa, menepis dakwaan pihak pembangkang PN berkaitan masalah banjir, kononnya masih gagal ditangani Kerajaan Perpaduan Selangor.

Gunaraj berkata, sebagai wakil rakyat, beliau sentiasa mengambil tanggungjawab atas apa yang berlaku di kawasannya itu.
"Setiap kali hujan lebat, ADUN kawasan dipersalahkan, tetapi sebagai wakil rakyat, saya bertanggungjawab.
"Namun, kita perlu faham apakah tindakan-tindakan daripada Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) atau Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
"Saya difahamkan, satu kajian telah dibuat semalam, bagaimanapun tarikh ia akan dilaksanakan itu masih belum dapat dipastikan," katanya dalam satu sidang media selepas mengadakan tinjauan, di DUN Sentosa, Klang, hari ini.
Beliau berkata, hujan lebat yang melanda semalam telah mengakibatkan longkang-longkang menjadi penuh dan air tidak dapat mengalir keluar.
Justeru katanya, longkang-longkang di kawasan terjejas perlu dinaik taraf bagi menampung air dan mengalirkannya ke sungai terutamanya ketika hujan lebat.
"Air kawasan Sentosa ini perlu dialihkan sampai ke sungai menerusi longkang-longkang ini.
"Seperti kita sedia maklum, kita berada sebelah dengan laut dan air yang berpunca daripada hujan lebat perlu disalurkan melalui longkang-longkang yang disediakan untuk air itu sampai ke sungai.
"Semalam apabila saya sampai di Sungai Klang, saya lihat ia bersedia untuk menerima air dalam kuantiti yang banyak, tetapi isu kita mengapa air di kawasan perumahan ini tidak dapat disalur keluar dengan cepat," katanya lagi.
Sementara itu, wakil KDEB Waste Management, Mohd Idris Mohamed Yusof berkata, punca utama banjir kilat di Taman Saga dan kawasan sekitarnya berpunca daripada sikap penduduk yang membuang sampah domestik ke dalam longkang sehingga perangkap sampah (sump) tersumbat dan menyebabkan air naik.

"Ada tempat yang airnya tersekat. Pengurusan longkang di sini sekali sebulan. Tetapi sampah yang masuk ke longkang ini setiap masa, membawa dari dalam rumah sampai ke sump (perangkap sampah) yang menghubungkan longkang rumah dan longkang besar, tersangkut di sana.
"Banyak sampah yang tersekat di sump menyebabkan air masuk ke rumah. Hari ini kami bawa jentera untuk membantu atau melihat di mana punca air itu tersekat," katanya.
Sehubungan itu, beliau mengharapkan kerjasama orang ramai agar tidak membuang sampah ke dalam longkang. Malah, katanya banyak sampah domestik yang boleh dikitar semula atau dijual.
Beliau menyeru kerjasama orang ramai memandangkan Monsun Timur Laut telah bermula dan taburan hujan amat tinggi dalam waktu ini.
"Kerjasama semua pihak penting untuk tidak membuang sampah ke dalam longkang kerana musim Mosun Timur Laut telah bermula.
"Longkang ini (pula untuk) sampai ke laut beberapa kilometer jauhnya menyebabkan air akan naik (dengan cepat) ke kawasan perumahan," katanya lagi..
Comments