
Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
ULASAN: Gesaan telah diungkapkan oleh Pesuruhjaya Parti Islam Se-Malaysia (Pas) Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri supaya penyokong Perikatan Nasional (PN) yang bermastautin di Negeri Selangor dapat berdaftar sebagai pengundi di negeri berkenaan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Gesaan tersebut mendapat dokongan penuh daripada kepimpinan Pas Selangor, namun nada berbeza diberikan oleh kepimpinan Pakatan Harapan (PH) Selangor.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Rodziah Ismail mengkritik cadangan Pesuruhjaya Pas Selangor dengan menggambarkan hal itu sebagai mencemarkan prinsip demokrasi yang berasaskan representasi sebenar penduduk tempatan. Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor, Azli Yusof pula berpendapat cadangan tersebut sebagai tindakan terdesak bagi meraih sokongan dalam pilihanraya akan datang.
Sambut dengan tangan terbuka
Seharusnya cadangan Pesuruhjaya Pas Selangor itu disambut dengan tangan terbuka oleh kepimpinan Pakatan Harapan (PH) terutamanya di negeri Kelantan. Cadangan tersebut sebetulnya merupakan cubaan sabotaj Pas Selangor terhadap kepimpinan Pas Kelantan dalam mempertahankan Kerajaan Negeri Kelantan menjelang pilihanraya akan datang.

Mantan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob mengakui bahawa sokongan pengundi luar menjadi antara faktor utama kejayaan Pas mengekalkan pentadbirannya di Kelantan pada PRU-14. Strategi yang sama turut digunakan bagi menghadapi PRU-15 apabila PN Kelantan menyediakan sebanyak 400 bas kepada 8,000 anak rantau untuk pulang mengundi.
Kurangkan jumlah pengundi
Gesaan oleh Pesuruhjaya Pas Selangor itu sebenarnya bakal mengurang jumlah pengundi Pas di Kelantan sebanyak 11%. Menurut Setiausaha Pilihanraya Pas Kelantan, Dr Wan Nik Wan Yusoff bahawa jumlah pengundi Kelantan yang merantau dengan bekerja atau belajar di luar negeri tersebut adalah dalam lingkungan 150,000.
Jumlah itu disasarkan menerusi kajian yang dibuat di bawah Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan semasa PRU-15. Kadar keluar mengundi dalam PRU-15 juga menunjukkan bahawa Kelantan gagal mencapai tahap 60%, keadaan ini memberi isyarat bahawa Pas Kelantan bakal berhadapan keadaan yang sukar bagi menghadapi pilihanraya akan datang tanpa bantuan pengundi luar.
Pola keluar mengundi di Kelantan dijangka akan berterusan rendah (40% tidak keluar mengundi) menjelang pilihanraya akan datang memandangkan data yang dibentangkan oleh Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli yang diperoleh sejak tahun 2016 menunjukkan keadaan terkini sokongan rakyat Kelantan terhadap pentadbiran Pas di negeri tersebut semakin merosot dan berada pada paras 50%.
Pas Kelantan mungkin yakin pengundi tegar mereka sukar memberi menyokong calon pilihanraya PH namun mereka tdak dapat menolak kemungkinan penyokong tegar mereka memboikot peti undi, malah Pas Kelantan juga terpaksa berhadapan dengan gabungan pengundi PH-BN.
Pengundi Selangor iktiraf pencapaian PH
Jika ditelitit pengundi luar yang bakal beralih tempat mengundi ke Negeri Selangor, seharusnya kepimpinan PH tidak gusar kerana sentimen pengundi yang mengundi di Negeri Selangor sangat cenderung mengiktiraf pencapaian Kerajaan Madani Selangor.
Kajian terhadap Pelan Tindakan Smart Selangor 2025 (SSAP 2025) oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menunjukkan bahawa inisiatif dalam domain infrastruktur digital seperti hentian bas pintar, mendapat sambutan positif dengan indeks kepuasan yang tinggi. Manakala kajian Penilaian (Tracking Study) Untuk Menambah baik Prestasi Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor oleh Merdeka Centre For Opinion Research menunjukkan prestasi PBT di Negeri Selangor pada tahap yang memuaskan, beberapa cadangan informan kajian berkenaan penambahbaikan infarastruktur awam dan sistem perparitan secara berkala telah diambil tindakan oleh Kerajaan Madani Selangor.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Muhamad Hisommudin Bakar turut membentangkan dapatan kajian yang memberangsangkan terhadap tahap pentadbiran Kerajaan Madani Selangor. Kajian Ilham Centre melaporkan bahawa populariti kerajaan PH di Negeri Selangor adalah pada tahap 79%.
Tawan negeri pembangkang
Justeru tiada apa yang perlu dirisaukan berkenaan perpindahan pengundi luar ke Selangor terutamanya dari Kelantan, pengundi tersebut mungkin cenderung kepada Pas di Kelantan namun kecenderungan tersebut boleh berubah apabila mereka mengundi di Selangor.
Seharusnya pada ketika ini kepimpinan PH di negeri-negeri yang ditadbir oleh PN bersiap sedia dan mempertingkatkan usaha untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri seiring dengan usaha pendaftaran pengundi luar ke Selangor. Persediaan seperti yang dilakukan oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selaku Pengerusi PH Kedah memberi isyarat kepada para pengundi bahawa gabungan PH-BN adalah goverment in waiting yang meyakinkan.
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan Selangor
Comments