Tidak wujud kebebasan mutlak biarpun di alam siber yang tidak diketahui secara fizikal manusia disebalik setiap akaun media sosial.
Menurut Pengerusi Bukan Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Syed Ibrahim Syed Noh, kerajaan pada bila bila masa tidak berminat untuk menyekat kebebasan di alam siber, bagaimanapun perbuatan yang boleh merugikan orang lain tentu sekali tidak wajar dibiarkan terus berleluasa.
Katanya, sejak media sosial menjadi kegilaan rakyat Malaysia telah begitu banyak penipuan atas talian, buli siber dan fitnah berlaku di media berkenaan yang mana mangsa tidak dibela.
"Kita memang tidak mahu menyekat kebebasan tetapi kebebasan itu ada hadnya. Berdasarkan apa yang kita lihat sejak akhir ini dari segi buli siber, gangguan seksual, scam (penipuan) dan sebagainya nampak meningkat.
"Kes bunuh diri mendiang Eisha, scam dalam talian sehingga hampir 96,000 kes dalam tiga tahun dan merugikan (mangsa) sehingga RM3.8 bilion.
"Oleh itu kita memerlukan satu definisi rasional mengenai kebebasan (di media sosial) dan dari segi tanggungjawab," katanya dalam wacana sinar bertajuk: "Selamatkah alam siber kita?" malam tadi.
Tegas Ahli Parlimen Ledang itu, prinsip asas yang perlu difahami adalah setiap manusia dilahirkan untuk bertanggungjawab kepada diri, keluarga, organisasi, negara dan persekitarannya.
Namun bagaimanakah manusia itu tidak boleh dituntut untuk tanggungjawab di alam siber.
Dalam ajaran Islam, kata Syed Ibrahim, terdapat prinsip Maqasid Syar'iah yang melindungi diri manusia di mana pun mereka berada.
"Penting untuk kita jadikan panduan kita. Dalam kalangan Islam umpamanya terdapat prinsip Maqasid Syar'iah, iaitu perlindungan dari segi agama, jiwa, akal, keturunan dan harta.
"Dalam Islam ada perkara begini. Tidak boleh buat apa sahaja sebagai laskar siber, kita hentam, tak ada tanggungjawab, tak ada orang kenal kita, buat melalui akaun palsu. Itu bukan perkara baik yang kita nak terapkan dalam masyarakat dan oleh mana pihak pun.
"Saya nampak perkara ini mesti ada kesedaran dan penguatkuasaan. Sebab itu saya setuju ada lesen. Tetapi dia juga ada langkah, fasa dan sebagainya. Perlunya ada dasar dan dirangka dari segi undang undang yang sesuai," katanya dalam menyokong usaha kerajaan mewujudkan kawal selia melalui perlesenan platform media sosial yang bakal berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025.
Dalam hal sama, kata Syed Ibrahim, kerajaan juga telah mewujudkan Akta Keselamatan Sivil yang memberi satu perspektif baharu bagaimana mahu tangani keselamatan sivil dan teknik yang boleh diguna untuk pastikan kawal selia yang lebih baik.
Juga, katanya, Akta Perlindungan Data Peribadi yang memberi perlindungan privasi kepada pengguna atau pun perlindungan tambahan kepada keselamatan data peribadi.
Comments