Oleh: Akmal Manaf
Akta Tahanan Rumah jika diluluskan terpakai kepada individu yang dikenakan perintah tahanan reman sementara menunggu perbicaraan di mahkamah.
Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata sekiranya akta itu boleh dilaksanakan kerajaan berhasrat memberi kuasa kepada mahkamah untuk mempertimbangkan keputusan.
''Kemudian (mahkamah) memerintahkan (individu terlibat) itu hendaklah ditahan reman di rumah dan dipakaikan peranti sehingga tarikh perbicaraan.
''Kelebihannya adalah penjara akan menjadi lebih kondusif kerana tidak terlalu padat,'' katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 peringkat kementerian di Dewan Rakyat hari ini.
Bagaimanapun Saifuddin berkata, akta berkenaan tidak terpakai kepada pesalah yang disabitkan dengan kesalahan-kesalahan yang melibatkan kes jenayah yang memperuntukkan hukuman mati dan seumur hidup.
"Tahanan reman yang didakwa di bawah kesalahan serius yang membawa pemenjaraan 10 tahun ke atas, keganasan rumah tangga dan kanak-kanak, sebatan mandatori, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Bab 6 Kanun Keseksaan juga tidak layak untuk ditahan di rumah.
''Kita sasarkan tahanan reman dan mereka yang bukan dituduh di bawah jenis-jenis kesalahan yang saya sebutkan itu,'' katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin memaklumkan, kerajaan telah mendapat persetujuan di peringkat Kabinet untuk meminda undang-undang berkaitan akta tersebut.
Katanya, selepas ini pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara untuk membangunkan kerangka berkenaan maksud Akta Tahanan Rumah.
''Kemudian kami akan mengadakan sesi libat urus dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang berkaitan seperti hak asasi manusia, keselamatan dan juga dengan semua pemegang taruh yang berkepentingan,'' ujarnya lagi.
Comments