Akta Perkongsiaan Data berkuat kuasa, percepat penyampaian khidmat awam
- Suara Keadilan
- 11 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Akta Perkongsian Data 2025 mula berkuat kuasa hari ini sebagai satu bentuk kerangka perundangan bagi perkongsian data yang selamat serta berkesan antara kementerian dan agensi kerajaan Persekutuan.
Menteri Digital Gobind Sigh Deo berkata, akta baharu ini dijangka meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam dan membolehkan jabatan kerajaan mengakses data bersama secara masa nyata.
"Ini akan mempercepatkan proses membuat keputusan dan memperbaiki koordinasi dalam penyampaian perkhidmatan kepada
rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Gobind berkata perkongsian dan analisis data penting bagi pembangunan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dalam membangunkan aplikasi untuk pelbagai sektor seperti penjagaan kesihatan, pertanian dan perancangan bandar.
Beliau menjelaskan melalui akta tersebut satu proses diwujudkan di mana permohonan untuk mendapatkan data boleh dibuat oleh agensi-agensi terbabit serta bagaimana permohonan ia dikendalikan.
"Jawatankuasa Perkongsian Data Kebangsaan akan menjalankan penilaian ketat ke atas setiap permohonan berdasarkan kriteria yang ditetapkan dalam menentukan sama ada data yang dimohon boleh dikongsi atau tidak," ujarnya.
Beliau berkata penguatkuasaan akta tersebut dan penubuhan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), aspirasi Kerajaan MADANI untuk membina negara berteraskan AI akan dipacu dengan lebih pantas.
Tambahnya akta tersebut juga akan mewujudkan kerajaan yang lebih berhubung, berasaskan data serta memberi manfaat kepada rakyat, melindungi kebajikan mereka dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara.
"Saya menggesa semua kerajaan negeri untuk memperkenalkan undang-undang serupa yang dapat memudahkan perkongsian data antara Kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan demi manfaat negara secara keseluruhan," kata Gobind lagi.
"Kami juga sedang berusaha untuk melibatkan pemain industri dalam merangka mekanisme yang membolehkan perkongsian data antara kerajaan dan sektor industri pada masa akan datang."
Comments