
Oleh: Akmal Manaf
Kejayaan Kerajaan MADANI melakukan beberapa reformasi sejak mentadbir negara pada November 2022 membuktikan Pakatan Harapan (PH) tidak melupakan janji reformasi yang dibuat berdekad lalu biarpun membentuk Kerajaan Perpaduan bersama parti parti yang tidak menjanjikan reformasi institusi.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menyifatkan sidang Parlimen kali ini merupakan titik sejarah kerana kerajaan telah memulihkan kebebasan institusi Parlimen daripada cabang eksekutif dengan meluluskan Akta Perkhidmatan Parlimen dan Perlembagaan (Pindaan) 2025.
''Pengembalian Akta Perkhidmatan Parlimen telah berada dalam manifesto Pakatan Harapan sejak (pilihanraya) 1999 lagi.
''Akhirnya kelmarin menyaksikan reformasi institusi telah berjaya dilakukan,'' katanya dalam satu kenyataan.
Tze Tzin yang juga Timbalan Pengarah Strategi KEADILAN berkata, sejak Kerajaan Perpaduan mengambil alih pada November 2022, banyak pembaharuan telah dilakukan di Parlimen bertujuan memperkasakan semak dan imbang serta memperkukuhkan demokrasi.
Antara pembaharuan itu, kata beliau, adalah berkaitan Akta Perkhidmatan Parlimen, Sesi Pertanyaan Menteri-Menteri (MQT), perbahasan mengenai laporan SUHAKAM dan juga Laporan Ketua Audit Negara.
Pembaharuan lain, ujarnya, ialah berkenaan perbahasan Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), perbahasan Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) dan lebih banyak kerjasama bi-partisan melibatkan PAC, JKPK dan taklimat menteri.
''Ramai yang memberi komen bahawa Datuk Seri Anwar lambat melakukan reformasi, namun biarlah rekod pencapaian menjawab segalanya.
''Lazimnya reformasi institusi selalunya lambat, namun pembaharuannya adalah penting kerana ia menjamin kestabilan institusi jangka panjang dan integriti politik jangka panjang kepada negara.
''Dengan semak dan imbang yang lebih kukuh, rasuah juga akan dapat dikurangkan,'' ujarnya lagi.
Comments