
Dakwaan pembangkang bahawa Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) akan merampas rumah rakyat merupakan satu tuduhan fitnah keji.
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop menegaskan, tiada mana-mana pihak bakal kehilangan rumah susulan kewujudan akta tersebut, malahan ia digubal sebagai mekanisme untuk menambahbaik kualiti hidup rakyat di samping memastikan pembangunan bandar yang mampan demi kebaikan masa depan.
Tambahnya berdasarkan akta tersebut, pembangunan semula sesebuah kawasan bandar hanya boleh diteruskan jika 75 hingga 80 peratus pemilik rumah di kawasan berkenaan bersetuju, namun sekiranya ambang persetujuan tidak dipenuhi, sesuatu rancangan projek akan dibatalkan.
"Sebenarnya angka ini bertujuan memastikan pemilik menerima pampasan adil dan diberikan keutamaan untuk memiliki semula hartanah baharu yang lebih berkualiti.
"Ini bermakna tak ada unsur-unsur gentrifikasi (pengusiran), penduduk asal kekal di kawasan sama cuma dengan infrastruktur lebih baik. Jadi, pembangunan semula ini hanya melibatkan kawasan yang benar-benar memerlukan perubahan contohnya bangunan usang, tak selamat atau terbengkalai.
"Ia bukan nak menguntungkan pemaju, tapi nak meningkatkan kesejahteraan rakyat sesuai semangat Malaysia Madani. Justeru, jangan mudah terpedaya dakyah pembangkang mahupun pihak-pihak yang cuba memanipulasi maklumat," katanya dipetik.
Sebagai rekod, Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) bersetuju untuk menggubal Akta PSB yang bertujuan mengutamakan hak pemilik asal dan memastikan kemampanan dalam pembangunan bandar.
Selain itu akta tersebut dianggap perlu bagi menangani risiko keusangan dan kemerosotan kawasan bandar.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi satu kenyataan baru-baru ini menegaskan, mekanisme penting pelaksanaan PSB adalah mendapatkan persetujuan pemilik hartanah melalui perundingan, dan bukannya pengambilan secara paksa seperti mana yang biasa dilakukan oleh Kerajaan dalam pembinaan kemudahan awam di atas tanah milik individu.
Kaedah perundingan yang dijalankan adalah secara menyeluruh antara pihak berkuasa - sama ada pihak persekutuan atau negeri - dengan setiap pemilik hartanah berdaftar, tanpa pengecualian bagi memastikan pemilik hartanah menerima semula segala hak dan kepentingan yang wajar.
Comments