
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming mengecam dakwaan Ahli Parlimen Muar berkaitan Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
Beliau menyifatkan dakwaan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa akta tersebut umpama "akta rampas rumah" adalah tidak tepat dan tidak mencerminkan dasar dan peruntukan sebenar dalam akta berkenaan.
"Kenyataan (Muar) berniat jahat dan bertujuan memesong dewan yang mulia ini,
"Memang tak hormati segala pendapat dan jawapan diberikan ketua-ketua pengarah jabatan ketika taklimat diberikan.
"Kemudian masuk dewan menabur fitnah dan semata-mata ingin mencari publisiti murahan," katanya dipetik menggulung perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada Rabu.
Syed Saddiq di Dewan Rakyat pada Selasa mendakwa akta berkenaan dikhuatiri menjadi pengkhianatan terbesar kepada golongan susah di bandar kerana berisiko ‘diusir’ keluar.
Beliau mendakwa melalui akta tersebut, kerajaan menurunkan nilai ambang persetujuan pembangunan daripada 100 peratus kepada 80 peratus.
Untuk rekod, Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) pada September lalu bersetuju menggubal akta pembaharuan semula bandar yang akan mengutamakan hak pemilik asal dan memastikan kemampanan dalam pembangunan bandar.
Akta itu perlu digubal bagi menangani risiko keusangan dan kemerosotan kawasan bandar.
Sementara itu KPKT menerusi satu kenyataan menegaskan, akta tersebut tidak sama sekali akan meminggirkan atau mengancam golongan khususnya Kumpulan B40 dan M40 di kawasan bandar.
Tegas kementerian itu, tiada sebarang unsur paksaan atau isu gentrifikasi di dalam penggubalan akta itu kerana mekanisme penting pelaksanaan PSB adalah mendapatkan persetujuan pemilik hartanah melalui perundingan dan bukan pengambilan secara paksa.
"Kaedah perundingan yang dijalankan adalah secara menyeluruh antara pihak berkuasa dengan setiap pemilik hartanah berdaftar, tanpa pengecualian bagi memastikan pemilik hartanah menerima semula segala hak dan kepentingan yang wajar.
"Asas utama penggubalan Akta PSB oleh pihak Kementerian ini telah mengambil kira 10 prinsip yang secara strategiknya adalah untuk memastikan ketelusan pentadbiran kerajaan dan jaminan mengekalkan hak-hak yang dinikmati oleh pemilik hartanah berdaftar.
"Usaha murni Kerajaan pada hari ini terkehadapan untuk membantu kumpulan yang terhimpit ini keluar dari masalah yang membelenggu terutama di dalam kawasan bandar melalui Akta PSB," kata kenyataan itu.
Comments