Kementerian Komunikasi bersedia mendengar pandangan pengamal media berhubung cadangan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Menterinya Fahmi Fadzil berkata, walaupun perkara itu bukan di bawah bidang kuasa kementeriannya namun beliau akan berhubung dengan tiga persatuan wartawan bagi mendapatkan gambaran sebenar isu yang menjadi kebimbangan mereka itu.
"Walaupun draf itu bukan di bawah jagaan Kementerian Komunikasi, tapi saya sedia mendengar pandangan daripada rakan-rakan media dan insya-Allah kita akan cuba untuk sampaikan," katanya dipetik.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan sebelumnya menghadiri majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di Menara KWSP di Kwasa Damansara pada Selasa.
Terdahulu tiga persatuan tersebut iaitu Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM), Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm) menuntut penjelasan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung cadangan pindaan tersebut.
Berikutan desas-desus bahawa syarat dan penalti bagi media akan diperluas dan diperketatkan di bawah pindaan berkenaan mereka bimbang ia akan menggugat kebebasan selain memberi impak besar kepada organisasi dan petugas media.
Bagaimanapun Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Ahad memberi jaminan pihaknya akan mengadakan sesi libat urus bersama pengamal media dalam mendapatkan maklum balas serta cadangan berkaitan pindaan Akta tersebut.
Jelasnya, jika ada cadangan berkaitan pindaan yang bercanggah dari sudut kebebasan atau hak asasi ia akan dibincangkan.
Akta Mesin Cetak dan Penerbitan di bawah kerajaan terdahulu amat ketat dan sering memangsakan media yang tidak sealiran dengan dasar kerajaan. Banyak media yang ditarik permit penerbitan atau digantung terbitan di bawah akta tersebut.
Pindaan ke atas akta itu oleh Kerajaan MADANI dijangka akan mengurangkan beberapa sekatan yang tidak diperlukan lagi dalam situasi media cetak terkini.
Comments