top of page

Akta kurangkan karenah birokrasi urusan perniagaan bakal digubal



Akta Iltizam Kecekapan Kerajaan akan digubal pada hujung tahun ini sebagai langkah mengurangkan karenah birokrasi serta prosedur tertentu membabitkan urusan perniagaan, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.


Beliau berkata mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah bersetuju supaya diwujudkan satu akta yang menyediakan garis panduan kepada kerajaan untuk memudahcara karenah birokrasi.


Menurut Rafizi, akta tersebut dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada penghujung tahun ini.


"Keputusan kerajaan (melalui MTEN) adalah komitmen untuk memudah cara perniagaan. Kita akan mengambil langkah melalui satu akta.


"Akta ini akan memberi garis panduan ataupun parameter kepada kerajaan mengenai komitmen kita untuk memudah cara kerenah birokrasi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Laporan Tinjauan Ekonomi Malaysia 2024 oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) di Kuala Lumpur hari ini.


Rafizi berkata antara faktor yang membawa kepada pengenalan akta tersebut disebabkan peraturan yang melibatkan perniagaan di Malaysia biasanya rumit dan mengambil masa yang panjang.


"Jadi bila kita bandingkan, contohnya tempoh masa yang diperlukan untuk menubuhkan sebuah syarikat di Malaysia (adalah lebih lama) berbanding dengan negara-negara jiran yang dilihat lebih pantas.


"Begitu juga, contohnya, jumlah prosedur yang perlu dipatuhi untuk mendaftarkan perniagaan pun banyak," katanya.


Beliau berkata Akta Iltizam Kecekapan Kerajaan itu selari dengan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang diperkenalkan tahun lepas.


"Akta tersebut menetapkan, contohnya, garis sempadan dari segi (berapa) fiskal defisit, tidak boleh lebih. Hutang berapa, tak boleh lebih dan perbelanjaan pembangunan sekurang-kurangnya tiga peratus.


"Dari segi Akta Iltizam Kecekapan Kerajaan, konsepnya sama iaitu meletakkan garis kecekapan yang perlu dipatuhi kerajaan dan perlu dibincangkan di Parlimen," katanya dipetik Bernama.


Rafizi berkata amalan sedia ada pada masa ini menunjukkan pihak yang ingin memulakan perniagaan perlu melalui empat atau lima agensi terlebih dahulu, yang kesemuanya mempunyai prosedur yang panjang.


Justeru itu, kata beliau, kerajaan memberikan fokus untuk mencari jalan bagi memperbaiki keadaan tersebut kerana ia merupakan sebahagian daripada kayu ukur daya saing negara.


"Negara yang birokrasinya rumit dan lambat akan selalu mendapat markah rendah dari aspek daya saing, jadi kita fokus dalam diam dalam tempoh setahun in dengan pihak swasta dan kerajaan," katanya.


Mengenai tinjauan ekonomi OECD itu, beliau berkata, laporan itu membolehkan Kementerian Ekonomi dan agensi lain melakukan penanda aras dalam sektor tertentu.


Menurutnya, semasa perbincangan awal dengan OECD tahun lepas, Kementerian Ekonomi meminta agar dilakukan penelitian mendalam termasuk membandingkan dasar dan amalan di negara lain berkenaan dengan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).


"Dapatan ini sudah tentu akan digunakan untuk kita merangka Rancangan Malaysia ke-13 dan keduanya, untuk kita merangka dasar dan program khusus dalam sektor melibatkan PMKS," katanya.


Mengenai cadangan bagi memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST), Rafizi berkata, dasar dan naratif yang dilaksanakan pada masa ini telah memberi keyakinan kepada pasaran dan pelabur bahawa kerajaan serius untuk meneruskan tumpuan mengukuhkan fiskal.


"Sebarang tindakan lain atau dasar lain, itu sudah tentu dipertimbangkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa," katanya.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page